Curi barang homestay selepas tiga jam 'check in'

Pelbagai barangan termasuk perkakas elektrik milik sebuah inap desa yang ditemui semula selepas lima lelaki dicekup dalam serbuan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru pada malam Selasa.
Pelbagai barangan termasuk perkakas elektrik milik sebuah inap desa yang ditemui semula selepas lima lelaki dicekup dalam serbuan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru pada malam Selasa.
A
A
A

MELAKA - Lima lelaki disyaki mencuri pelbagai barangan termasuk perkakas elektrik di sebuah inap desa berjaya ditahan dalam serbuan di Taman Ayer Molek Perdana, Kuala Sungai Baru di sini ada Selasa.

Kesemua suspek berusia 17 hingga 33 tahun itu ditahan kira-kira jam 12.20 tengah malam oleh sepasukan polis dari Cawangan Jenayah (D4) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Melaka, Asisten Komisioner Mohd Sukri Kaman berkata, pihaknya menerima laporan daripada seorang pemilik inap desa berusia 48 tahun mengenai kejadian kecurian yang berlaku di Jalan Kampung Tengah, Kuala Sungai Baru.

"Siasatan mendapati suspek akan berpura-pura menyewa inap desa milik mangsa selama tiga hari dua malam sebelum bertindak melarikan barangan berharga di rumah tersebut.

"Selepas tiga jam mendapat kunci dan mendaftar masuk, suspek akan memberitahu kepada pemilik barang-barang dalam homestay telah tiada dengan anggapan premis itu telah dipecah masuk.

"Suspek kemudian akan membatalkan tempahan homestay sebelum melarikan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Sukri berkata, hasil tangkapan yang dilakukan itu berjaya menemui barangan yang dilaporkan hilang termasuk penapis air, peti sejuk dan mesin basuh dengan nilai anggaran RM1,500.

Katanya, semakan lanjut mendapati kesemua suspek mempunyai rekod lampau membabitkan kes jenayah dan dadah selain menemui beberapa paket dipercayai dadah jenis syabu daripada salah seorang suspek.

Artikel Berkaitan:

"Kesemua suspek kini direman selama empat hari sehingga Jumaat untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 380 Kanun Keseksaan," katanya.