X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 06 Julai 2022

Dua lot tanah kerajaan negeri dijual

Lim Guan Eng hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada Rabu bagi menghadapi pertuduhan kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang.
A
A

KUALA LUMPUR – [DIKEMAS KINI] Bekas Exco Kerja Raya, Kemudahan Awam dan Pengangkutan Pulau Pinang, Datuk Lim Hock Seng memberitahu Mahkamah Sesyen di sini pada Rabu bahawa bayaran kajian kebolehlaksanaan (feasibility study) bagi projek tiga jalan utama di negeri itu dijelaskan menerusi dua lot tanah milik kerajaan negeri itu.

Hock Seng, 73, yang juga saksi pendakwaan ketiga berkata, demikian ketika prosiding kes rasuah berhubung pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di Pulau Pinang membabit bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng.

Ketika menjawab soalan daripada Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Hock Seng berkata, jumlah kajian kebolehlaksanaan dan rekaan perincian awal atau ‘preliminary detail design’ (PDD) bagi empat projek mega di Pulau Pinang ialah RM305 juta.

Wan Shaharuddin: Bayaran kajian kebolehlaksanaan bagi tiga projek jalan Pulau Pinang dibuat dalam bentuk tunai atau pemindahan tanah?

Hock Seng: Pemindahan tanah.

Wan Shaharuddin: Lot tanah yang mana?

Hock Seng: Lot tanah 702 dan 713, ia dikenal pasti sebagai dibayar kepada kontraktor untuk kerja yang telah disempurnakan.

Wan Shaharuddin: Lot tanah itu milik siapa?

Hock Seng: Tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang.

Wan Shaharuddin: Bukan kepunyaan Guan Eng?

Hock Seng: Bukan.

Dalam pada itu, ketika membaca pernyataan saksi, Hock Seng yang juga bekas Ahli Parlimen Bagan (DAP) itu berkata, beliau mengesahkan bahawa sebuah syarikat swasta sedang menerokai cadangan untuk membina sebuah terowong dan bercadang untuk menandatangani memorandum perjanjian persefahaman (MoU) dengan kerajaan negeri.

Menurut Hock Seng, ia berdasarkan dokumen butir-butir dalam mesyuarat Exco Negeri Pulau Pinang (MKK) ke-04/2011 bertarikh 26 Januari 2011 yang dihadirinya.

Lim Hock Seng
Lim Hock Seng

Selain itu, jelas beliau, selepas mendapat arahan daripada mesyuarat MKK pada tarikh sama di Pejabat Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar) untuk menguruskan cadangan membina terowong.

ARTIKEL BERKAITAN: Saksi tidak tahu perbincangan sulit suami, Guan Eng jam 2 pagi

Sejurus itu katanya, beliau meminta wakil Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) untuk menyediakan satu kertas kerja Perancangan Link Ketiga Pulau Pinang, Jalan Lingkaran Dalaman George Town dan Jalan Pintas, Lebuhraya Tun Dr Lim Chong EU ke Air Hitam, Pulau Pinang.

“Dalam mesyuarat MKK pada 16 Mac 2011, diberitahu bahawa Syarikat Beijing Urban Construction Group (BUCG) meminta agar MoU ditandatangani secepat mungkin.

“MoU ditandatangani oleh Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu, Datuk Farizan Darus bagi pihak kerajaan negeri dan BUCG pada 17 Mac 2011 bagi menyelesaikan masalah kesesakan lalu lintas di Pulau Pinang,” katanya.

Hock Seng memberitahu, Guan Eng turut menyatakan akan menandatangani satu MoU dengan BUCG di Putrajaya pada April 2011 yang mana BUCG akan membiayai projek pembinaan terowong sepanjang lima kilometer dengan anggaran kos RM10 bilion.

Katanya, seramai 10 delegasi telah menyertai rombongan lawatan ke Beijing, China dari 2 Jun 2011 hingga 8 Jun 2011 untuk melihat projek mega yang dibuat oleh BUCG.

Beliau berkata, dokumen MoU itu menunjukkan BUCG berminat untuk melaksanakan projek tersebut secara tender terbuka.

Mesyuarat MKK kemudian katanya, memohon pihak BUCG mendapatkan pandangan kerajaan Persekutuan berkaitan implikasi perundangan terhadap pembinaan lebuh raya bertingkat dan terowong.

“BUCG turut dipohon membuat anggaran kos kajian kesesuaian dan reka bentuk bagi ketiga-tiga projek termasuk formula pembiayaan kos di antara BUCG.

“Syarikat itu juga diminta untuk menyediakan jadual pelaksanaan kajian kesesuaian penyediaan rekabentuk projek,” katanya.

Kes ini akan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin, Nik Haslini Hashim dan Farah Yasmin Mohd Salleh manakala Guan Eng diwakili peguam Gobind Singh Deo.

Guan Eng, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli yang dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Guan Eng didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.

Perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi disambung esok.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!