Jejak Prihatin kenal pasti 15,000 keluarga miskin di KL, Putrajaya

Annuar Musa
Annuar Musa
A
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 15,000 termasuk 3,853 keluarga miskin tegar di sekitar Kuala Lumpur dan Putrajaya disenarai untuk dijejaki menerusi program Jejak Prihatin yang dilaksanakan secara berterusan dengan fasa pertama bermula pada hari ini hingga 28 Julai ini.

Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, program itu adalah langkah proaktif menggerakkan usaha mencari golongan terkesan akibat pandemik Covid-19 dan kawalan pergerakan (PKP) bagi menghulurkan bantuan segera tanpa perlu menunggu sehingga keadaan mereka semakin kritikal.

Beliau menjelaskan, Kementerian Wilayah Persekutuan menggerakkan hampir 4,000 sukarelawan Wilayah Prihatin atau Prihatin Volunteers (PriVo) dan ahli Majlis Perwakilan Penduduk Wilayah Persekutuan.

Katanya, ia untuk menjejaki golongan miskin tegar, miskin bandar dan mereka yang memerlukan bantuan termasuk dari aspek kesihatan mental dan kerohanian dalam kalangan warganya.

"Tanggungjawab sukarelawan adalah untuk pergi dari pintu ke pintu menjenguk secara fizikal keadaan keluarga miskin tegar dan miskin ini serta melihat keperluan atau permasalahan dihadapi mereka termasuk soal pemberian vaksin kerana kami tidak mahu ada sesiapa yang tertinggal menerima vaksin dan perlu disegerakan.

"Bukan hanya memberi sokongan moral, setiap data yang diperoleh daripada sukarelawan ini juga akan dihimpunkan di Rumah Prihatin@Grand Seasons selari dengan fungsinya sebagai pusat dua hala dalam mengutip dan menyampaikan maklumat," katanya selepas melancarkan program itu di sini pada Rabu.

Annuar memberitahu, program Jejak Prihatin ini akan diselaraskan oleh Yayasan Wilayah Persekutuan selaku pelaksana induk dan sumbangan serta bantuan daripada orang ramai, termasuk organisasi korporat amat diperlukan bagi memastikan seramai mungkin warga Wilayah Persekutuan dapat dibantu secara berterusan. - Bernama

Artikel Berkaitan: