X

Kindly register in order to view this article
!

11 gelandangan terima suntikan vaksin Covid-19

Seorang penghuni PPG Sementara Kinta menerima dos pertama suntikan vaksin.
A
A

IPOH - Seramai 11 penghuni Pusat Penempatan Gelandangan (PPG) Sementara Kinta menerima suntikan pertama vaksin Covid-19 di sini pada Rabu.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat dan NGO Perak, Datuk Dr Wan Norashikin Wan Noordin berkata, kesemua mereka berusia 47 hingga 89 tahun termasuk seorang wanita telah selesai menerima dos pertama suntikan itu.

"Daripada 14 penghuni yang disenarai awal, dua penghuni menolak kerana mahu berbincang dengan waris terlebih dahulu, manakala seorang lagi belum sihat sepenuhnya. Jadi dinasihatkan doktor tangguh kepada fasa seterusnya.

"11 penghuni telah disaring kesihatan dan diberi persetujuan untuk menerima vaksin hari ini dan kesemuanya cukup tenang dan lancar sepanjang proses vaksinasi," katanya ketika hadir ke program Suntikan Vaksin Covid-19 di PPG Sementara Kinta di Dewan Persatuan Bulan Sabit Merah, Jalan Kompleks Sukan di sini.

Menurut beliau, baki 13 lagi gelandangan dijangka akan menerima suntikan mereka seawal minggu depan.

Wan Norashikin berkata, semua pegawai daerah telah dimaklumkan untuk merujuk kes-kes ke PPG Sementara Kinta setiap Isnin dan Khamis.

"Kita ada buka untuk rujukan dari daerah-daerah lain dan perkara ini dimaklumkan kepada pegawai daerah bagi memudahkan proses di sini. Hingga kini hanya ada satu kes dirujuk ke sini.

"Bagaimanapun, kita tidak mempunyai jumlah tepat gelandangan kerana ada antara mereka yang berpindah-randah serta keadaan ekonomi mereka," katanya.

Sementara itu, Jaafar Hassan, 70, berkata, dia gembira dapat terima suntikan vaksin selepas mengetahui bahaya kepada kesihatan sekiranya dijangkiti Covid-19.

"Saya takut bila dengar bahaya jangkitan ini terutama kepada warga emas seperti kami berbanding orang muda.

"Saya nasihatkan rakan-rakan untuk setuju terima vaksin kerana bila dicucuk tidak sakit umpama digigit semut sahaja. Terima kasih kepada semua pihak," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!