Sidang DUN Negeri Sembilan 3 hingga 8 September: MB

Aminuddin
Aminuddin
A
A
A

SEREMBAN - Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan dijadual berlangsung pada 3 hingga 8 September ini, kata Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun.

Beliau berkata, perkara itu telah mendapat perkenan Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Almarhum Tuanku Munawir.

“Kita akan adakan perasmian oleh Tuanku Muhriz pada Jumaat (3 September) dan seterusnya beberapa agenda termasuk membahaskan titah baginda dan rang undang-undang yang dibawa dalam persidangan," katanya pada sidang media dalam talian selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri, hari ini.

Kali terakhir DUN negeri ini bersidang ialah pada 3 Disember 2020.

Sementara itu, beliau berkata Jabatan Kesihatan negeri akan memberi tumpuan utama bagi mengawal 13 kes dijangkiti virus yang dikategorikan sebagai varian membimbangkan iaitu tujuh kes varian Beta dan enam kes varian Delta yang dikesan di Seremban, Kuala Pilah dan Rembau.

“Kes ini sukar dikawal dan kita berharap semua bentuk aktiviti berkumpulan dikawal bagi mengekang penularan Covid-19. Kita harus akur dan berharap keputusan ini dapat menjaga kita, jumlah kes semalam adalah amaran kepada kita,” katanya.

Negeri Sembilan semalam merekodkan 1,033 kes Covid-19 manakala hari ini 1,537 kes.

Dalam pada itu, beliau berkata, seramai 342,605 individu di negeri ini telah melengkapkan dos pertama vaksin Covid-19 manakala 142,138 selesai menerima dua dos suntikan setakat semalam. - Bernama

Artikel Berkaitan: