MB Perak ingatkan rakyat patuh SOP, elak kluster ibadah korban

Saarani - Foto Bernama
Saarani - Foto Bernama
A
A
A

IPOH - Kluster ibadah korban sewaktu sambutan Hari Raya Aidiladha minggu depan boleh dielakkan jika pihak terlibat mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan sekali gus mengekalkan negeri ini di Fasa Dua Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Menteri Besar Perak, Datuk Saarani Mohamad berkata, untuk beralih ke Fasa Tiga PPN itu memerlukan kerjasama semua pihak termasuk mengelakkan berlakunya penambahan kes sewaktu ibadah korban dengan mematuhi segala peraturan ditetapkan pihak berkuasa.

“Seperti dimaklum sebelum ini, hanya 10 orang terlibat dalam menguruskan seekor binatang korban. Apabila lebih ramai berkumpul, maka kita akan saling rapat dan alpa hingga melanggar SOP. Jangan buat kenduri, jangan bagi ruang kepada virus Covid-19 menjangkiti kita.

“Perak kini di Fasa Dua PPN, dan kami sedang berusaha untuk ke Fasa Tiga. Jadi kita mesti kurangkan bilangan orang dijangkiti dan jangan pula kita yang terkorban (dijangkiti),” katanya dalam sidang maya dari pejabatnya hari ini.

Dilapor Perak antara lima negeri yang beralih ke Fasa Dua PPN berkuat kuasa 5 Julai selain Perlis, Perak, Pahang, Terengganu dan Kelantan.

Peralihan kelima-lima negeri itu ke fasa seterusnya adalah kerana negeri-negeri terbabit berjaya mencapai tiga indikator nilai ambang yang ditentukan iaitu – kes harian Covid-19 bawah 4,000, peningkatan kapasiti unit rawatan rapi (ICU), serta liputan vaksinasi dua dos meliputi 10 peratus daripada keseluruhan populasi.

Saarani sebelum itu menerima sumbangan 287 ekor lembu korban yang bernilai RM1.6 juta daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) di negeri Perak membabitkan Perbadanan Pembangunan Pertanian Negeri Perak, Perbadanan Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Perbadanan Menteri Besar dan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

Mengulas lanjut, Saarani berkata, setiap 59 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN), termasuklah pembangkang akan menerima sekurang-kurangnya empat ekor lembu korban yang akan diagihkan dan diselaraskan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

”Bagi kawasan ADUN bukan beragama Islam pula, agihan lembu korban akan diselaraskan oleh Pegawai Tadbir Agama (PTA) Daerah. Proses serahan secara berakad kepada wakil-wakil peringkat DUN ini akan bermula esok (15 Julai).

“Sehubungan itu juga, hasil perbincangan dengan pihak Jabatan Mufti Negeri Perak, satu garis panduan khusus yang menumpukan aspek wakalah atau kontrak antara pihak-pihak yang terlibat akan diedarkan bagi memastikan pelaksanaan program ini berlandaskan tuntutan syarak,” katanya.

Menurut Saarani, pelaksanaan ibadah korban juga perlu mematuhi peraturan lain yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa berkaitan seperti Jabatan Agama Islam Negeri Perak, Majlis Keselamatan Negara dan Jabatan Perkhidmatan Veterinar. - Bernama