Kerajaan perlu beri takrifan rasmi Islamofobia: Macsa

Gambar kecil dari kiri: Ku Amirul, Lukman
Gambar kecil dari kiri: Ku Amirul, Lukman
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan disaran supaya mewujudkan takrifan rasmi terhadap definisi dan konsep Islamofobia selari dengan kepentingan kedudukan agama Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

Pengerusi Gabungan Pertubuhan-Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (Macsa), Lukman Sheriff Alias berkata, perhatian serius harus diberikan kepada rakyat Malaysia yang didapati masih berhadapan dengan masalah Islamofobia.

Menurutnya, masalah tersebut yang dikesan berlaku di pelbagai institusi merangkumi media, pendidikan, politik dan tempat kerja itu tidak seharusnya diketepikan hanya kerana Malaysia adalah negara majoriti rakyatnya beragama Islam.

“Kerajaan boleh mencontohi langkah diambil United Kingdom dalam melantik penasihat bebas dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam yang dianggap pakar kerana mereka merupakan tempat rujukan bagi aduan mengenai isu kebencian terhadap umat Islam.

"Perhatian serius kerajaan terhadap kejadian Islamofobia juga akan membolehkan umat Islam yang berdepan isu ini mendapatkan bantuan supaya tindakan tegas boleh diambil.

“Perlu ada juga usaha bersepadu dalam meningkatkan kesedaran di kalangan masyarakat mengenai pelbagai ekspresi dan perlakuan Islamofobia dan kesan-kesan buruknya,” katanya ketika memberikan ucaptama semasa webinar Pelancaran Laporan Sulung Islamofobia MACSA 2017-2020 pada Rabu.

Hadir sama merasmikan laporan tersebut ialah Pengerusi Lembaga Penasihat Penylarasan Pelajaran dan Pendidikan Agama Islam (LEPAI), Profesor Emeritus Tan Sri Dr Mohd Kamal Hassan.

Lukman berkata, kerajaan pada masa sama turut digesa mengambil langkah proaktif dalam menggubal undang-undang yang khusus ditujukan untuk mengadili ucapan kebencian terhadap Islam memandangkan perundangan sedia ada dilihat masih tidak mencukupi untuk sepenuhnya menangani masalah tersebut.

Artikel Berkaitan:

Mengulas mengenai pelancaran laporan tersebut, Lukman berkata, ia diusahakan dengan tujuan untuk mengisi jurang pemahaman dan maklumat dalam kalangan masyarakat Malaysia terhadap Islamofobia yang berlaku di Malaysia.

Katanya, masih ada rakyat Malaysia termasuk yang beragama Islam dilihat menerima pemikiran Islamofobia tanpa mereka sedari sekali gus mampu mempengaruhi pembentukan polisi negara.

“Adalah penting untuk kita memahami Islamofobia supaya kita dapat berpendirian menolaknya. Jika tidak, kita akan terikut-ikut tanpa disedari kita telah terjebak,” ujarnya yang turut memberikan beberapa contoh antaranya dalam isu pelaksanaan pembelajaran tulisan jawi di sekolah," ujarnya.

Lukman berkata, laporan yang merangkumi peristiwa dan insiden Islamofobia dalam tempoh empat tahun itu turut merakamkan masalah yang dihadapi oleh individu yang baharu memeluk Islam atau mualaf.

Menyentuh mengenai diskriminasi dan isu Islamofobia yang berlaku di tempat kerja, Ahli Jawatankuasa Macsa, Ku Amirul Faiz Ku Seman berkata, perkara itu tidak mustahil boleh berlaku kerana masih belum ada sebarang rekod rasmi yang diwujudkan bagi melaporkan perkara tersebut.

“Antara sebabnya adalah kerana tiada platform aduan rasmi, kurang pengetahuan mengenai hak pekerja dan pekerja sendiri takut untuk melaporkan kepada pihak berkuasa kerana risau terhadap amaran majikan serta berpotensi hilang pekerjaan.

“Justeru, adalah tidak mustahil kejadian Islamofobia ini sebenarnya boleh berlaku di Malaysia ataupun pekerja beragama Islam ini berdepan dengan halangan untuk mengamalkan agama di tempat kerja,” jelasnya.

Ku Amirul yang juga seorang peguam berkata, empat halangan di tempat kerja yang direkodkan dalam laporan mengenai isu tersebut ialah hak memakai tudung ketika bekerja, hak menunaikan solat fardu, hak menunaikan solat Jumaat bagi lelaki dan diskriminasi terhadap mualaf.

Islamofobia merupakan tindakan membenci dan berprasangka buruk terhadap apa-apa yang mewakili Islam dan penganutnya yang dizahirkan dalam pelbagai bentuk sama ada fizikal, politikal, kebudayaan, linguistik dan pelbagai cara lain.