Tinggal di Kedah, dapat suntikan vaksin di Selangor

Paparan MySejahtera Liah yang menetap di Derga, Alor Setar diberikan PPV di Sarawak. Shaharol Niza menunjukkan UiTM Puncak Alam dipaparkan sebagai PPV pada aplikasi MySejahtera.
Paparan MySejahtera Liah yang menetap di Derga, Alor Setar diberikan PPV di Sarawak. Shaharol Niza menunjukkan UiTM Puncak Alam dipaparkan sebagai PPV pada aplikasi MySejahtera.
A
A
A

ALOR SETAR - Seorang ahli perniagaan terkejut apabila melihat paparan aplikasi MySejahtera yang menetapkan Shah Alam, Selangor sebagai Pusat Penerimaan Vaksin (PPV) sedangkan mereka sekeluarga menetap di Pendang, Kedah.

Shaharol Niza Omar, 48, yang beralamat di Kubur Panjang, Pendang memeriksa status suntikan vaksin Covid-19 yang bakal diterima itu ketika berada di rumahnya pada pagi Rabu.

Menurutnya, kali terakhir dia mengemas kini status permohonan adalah pada Sabtu lalu dan pada Selasa memperoleh tarikh suntikan.

“Mengikut jadual, saya akan diberikan suntikan vaksin pada pagi Jumaat ini, bertempat di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Puncak Alam, Shah Alam, Selangor. Saya pelik kerana alamat yang didaftarkan pada MySejahtera 27 Februari lalu adalah di Kubur Panjang, Pendang,” katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Shaharol Niza berkata, dia turut mendaftarkan nama isteri dan anaknya yang berusia 20 tahun dalam aplikasi sama pada 30 Mei, namun sehingga kini mereka masih belum memperoleh maklum balas berhubung permohonan terbabit.

“Saya tidak mempunyai rumah di Shah Alam. Saya juga tidak pernah menetap di sana kecuali ketika bergelar pelajar UiTM sekitar tahun 90-an.

"Walaupun kecewa kerana tarikh yang dinantikan tidak seperti dikehendaki, namun agak lucu apabila isteri mengusik saya ada isteri kedua di Shah Alam kerana kesilapan teknikal MySejahtera itu,” katanya.

Dia berkata, disebabkan tarikh suntikan amat hampir dan dalam keadaan negara berdepan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), adalah mustahil untuknya menerima janji temu terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Saya kerap kemas kini status MySejahtera, namun terkilan kerana berlaku kesilapan seperti ini. Saya mohon agar PPV untuk saya sekeluarga ditukar ke tempat paling hampir dengan rumah. Adalah sangat berisiko untuk rentas negeri semata-mata untuk terima vaksin,” katanya.

Shaharol Niza berkata, dia bagaimanapun telah menghubungi PPV Pendang untuk mendapatkan penyelesaian berhubung kekeliruan itu.

Sementara itu, situasi sama turut berlaku kepada seorang warga emas, Liah Taib, 71 apabila aplikasi MySejahtera menyatakan PPV untuk dirinya adalah di Sarawak.

“Anak beritahu status permohonan mak cik diluluskan dan diberikan suntikan pada 14 Jun namun terkejut apabila dipaparkan PPV di sebuah pusat perubatan di Petra Jaya, Sarawak, padahal mak cik tak pernah pun tinggal di sana,” katanya.

Liah yang menetap bersama anaknya di Derga, Alor Setar agak bimbang kerana usianya yang lanjut dan mahu pemberian vaksin disegerakan.

“Kami sekeluarga susah hati, bimbang kalau saya tolak tarikh itu, lambat pula diberikan tarikh baharu. Anak tolong uruskan dan batalkan permohonan itu, sebelum saya diberikan tarikh suntikan semula pada 3 Julai lalu. Mak cik kini sedang tunggu untuk suntikan kedua pada 24 Julai ini,” katanya.

Sementara Pengarah Kesihatan Kedah, Dr. Othman Warijo berkata, pemohon yang mengalami masalah seumpama boleh mengemas kini penukaran PPV menerusi aplikasi MySejahtera.

“Aduan masalah berkenaan kepada talian hotline di MySejahtera, maklumkan PPV bukan berdekatan alamat tempat tinggal.

"Pejabat Kesihatan Negeri tidak boleh ubah status selepas tarikh janji temu diberikan, ia diuruskan oleh pengurusan MySejahtera di Kuala Lumpur, hanya mereka boleh bantu buat penjadualan semula,” katanya.

Menurutnya, pihaknya hanya menghantar senarai nama pemohon dan semua tarikh suntikan diuruskan oleh pengurusan MySejahtera.

“Anda tak perlu pergi ke PPV berdekatan untuk kemas kini, hanya lakukan secara dalam talian menerusi MySejahtera. Tarikh baru akan diberikan berdasarkan umur sebagai keutamaan,” katanya.

Dr. Othman berkata, kes sedemikian adalah kes terpencil dan kurang daripada 10 kes dilaporkan di negeri ini selain ia berpunca daripada masalah teknikal.