Perut terburai ditanduk lembu sado

Seorang penduduk, Shahrul Idzham Shafie, 19, menunjukkan lembu sado yang dipercayai menanduk seorang lelaki di Pokok Sena pada Selasa.
Seorang penduduk, Shahrul Idzham Shafie, 19, menunjukkan lembu sado yang dipercayai menanduk seorang lelaki di Pokok Sena pada Selasa.
A
A
A

ALOR SETAR - Hasrat seorang lelaki membantu rakannya yang juga penternak merawat seekor lembu sado yang cedera di kaki bertukar tragedi apabila mangsa ditanduk ternakan itu hingga terburai perut dalam kejadian di Kampung Pecah Gadung, Pokok Sena di sini pada Selasa.

Dalam kejadian jam 8 pagi itu, mangsa yang dikenali sebagai Hakim, 50, dibawa ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) di sini bagi mendapatkan rawatan dan kini dalam keadaan stabil selepas menjalani pembedahan.

Pemilik ladang lembu yang hanya ingin dikenali sebagai Mat, 30, berkata, dia mendapati lembu sado peliharaannya seberat lebih satu tan itu mengalami kecederaan di kaki pada Selasa.

Menurutnya, dia amat terkejut melihat tindakan agresif lembu yang berusia dua tahun berkenaan.

"Selama ini, Hakim sering datang ke ladang untuk membantu saya menjaga lembu di sini. Semalam, lembu berkenaan bertindak agresif mungkin kerana tidak sihat.

"Bagaimanapun, saya terkejut apabila menyaksikan sendiri lembu itu menanduk Hakim antara dua hingga tiga kali ketika sedang merawat kakinya," katanya kepada pemberita ketika ditemui di ladangnya di sini pada Rabu.

Lembu sado yang dipercayai menanduk Hakim dalam kejadian di sebuah ladang lembu di Pokok Sena pada Selasa.
Lembu sado yang dipercayai menanduk Hakim dalam kejadian di sebuah ladang lembu di Pokok Sena pada Selasa.

Mat berkata, dia sempat menarik Hakim jauh dari lembu sejurus selepas kejadian itu dan bersyukur tanduk haiwan itu tidak mengenai bahagian dada rakannya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, dia memiliki pengalaman selama lima tahun menjaga lembu dan terdapat 11 lembu di ladangnya dengan lima daripada lembu sado seberat satu tan lebih telah dijual untuk tujuan korban pada Hari Raya Aidiladha.

Dalam pada itu, Mat memaklumkan mereka belum memutuskan untuk membuat laporan polis berhubung kejadian memandangkan situasi kini dalam keadaan terkawal.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Ahmad Shukri Mat Akhir memaklumkan pihak Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Setar tidak menerima laporan berhubung kejadian berkenaan.