Ismail Sabri 'jambatan' selamatkan UMNO, kerajaan PN

No Image Caption
A
A
A

SHAH ALAM - Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri mampu menjadi 'jambatan' penting bagi menyelamatkan UMNO yang semakin bergolak, sekali gus dianggap calon terbaik menggantikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sekiranya diperlukan.

Penganalisis politik veteran, Profesor Dr Ahmad Atory Hussain berkata, Ismail Sabri yang juga Naib Presiden UMNO turut dilihat sebagai solusi penyelesaian krisis kepimpinan UMNO untuk jangka masa panjang selain Menteri Kanan Luar Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein.

Jelas beliau, di sebalik keputusan pemberian jawatan Timbalan Perdana Menteri dianggap sebagai taktik mematahkan cubaan UMNO menjatuhkan Muhyiddin, ramai tidak menyedari pelantikan Ismail Sabri itu sebenarnya isyarat beliau adalah Presiden UMNO dan Perdana Menteri 'simpanan'.

"Saya juga difahamkan usaha mengetengahkan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri digerakkan oleh pemimpin-pemimpin UMNO yang menolak kepimpinan Ahmad Zahid seperti Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa; Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman sendiri.

"Tujuannya jelas, mereka mahu Ismail Sabri dipilih sebagai Presiden UMNO 'simpanan' sekiranya Ahmad Zahid disabitkan atas kes mahkamah dihadapi beliau dalam masa terdekat.

"Selain itu, kumpulan ahli Parlimen UMNO itu turut berpendapat Ismail Sabri adalah calon Perdana Menteri 'simpanan' paling layak jika Muhyiddin memutuskan untuk meletak jawatan lebih awal," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

ARTIKEL BERKAITAN: Ahli jemaah menteri beri sokongan penuh kepada Muhyiddin

Beliau berkata demikian bagi mengulas kekesalan Tajuddin yang juga ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO apabila ahli-ahli badan tertinggi parti itu tidak mengucapkan tahniah kepada Ismail Sabri sejurus diumumkan sebagai Timbalan Perdana Menteri baharu.

Artikel Berkaitan:

Sebelum ini, seorang lagi ahli MKT UMNO, Datuk Armand Azha Abu Hanifah mendakwa Ahmad Zahid telah memberikan restu kepada Ismail Sabri untuk menerima jawatan Timbalan Perdana Menteri yang diumumkan Muhyiddin minggu lalu.

Mengulas lanjut kekecewaan Tajuddin terhadap ahli-ahli MKT UMNO, Ahmad Atory berpandangan meskipun pelantikan Ismail Sabri dilihat tidak begitu disenangi ahli-ahli MKT yang menyokong Ahmad Zahid, pemimpin-pemimpin parti di peringkat akar umbi pula menyambut baik keputusan berkenaan.

No Image Caption

Beliau turut berkeyakinan Ahmad Zahid sebenarnya turut mendambakan jawatan itu, meskipun beliau masih berdepan dengan pelbagai pertuduhan kes mahkamah.

"Saya turut mendapat maklumat Muhyiddin sebenarnya lebih mahukan Hishammuddin menjadi Timbalan Perdana Menteri berbanding Ismail Sabri, mengambil kira rekod perkhidmatan Ahli Parlimen Sembrong itu sebagai menteri kabinet lebih lama berbanding Ismail Sabri sendiri.

"Bagaimanapun, Ismail Sabri masih dianggap calon terbaik untuk gantikan Muhyiddin kerana Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) ketandusan pemimpin untuk diangkat sebagai calon Perdana Menteri seterusnya," katanya.

Dalam pada itu, Felo Penyelidik Institut Penyelidikan Politik Malaysia, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri turut bersetuju pandangan pelantikan Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri menjadi jambatan untuk memulihkan ketegangan yang berlaku dalam UMNO ketika ini.

Ujarnya, Ismail Sabri juga merupakan calon terbaik untuk meredakan konflik yang tercetus antara kepimpinan UMNO dan Bersatu, meskipun keputusan UMNO keluar daripada kerajaan Perikatan Nasional (PN) minggu lalu, tidak memberi memberikan sebarang kesan.

"Saya menganggap pelantikan Ismail Sabri itu sebagai satu ujian kertas litmus kepada UMNO untuk melihat sejauh mana kepimpinan parti itu mampu mengembalikan keyakinan rakyat terhadap parti, mahupun kepada kerajaan PN.

"Sebelum ini, UMNO dilihat diketepikan daripada kerajaan PN kerana tiada pemimpin parti dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri.

"Namun, setelah mereka diberikan jawatan nombor dua penting berkenaan, saya fikir parti itu perlu kembali fokus dalam memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat pada saat krisis Covid-19 semakin kritikal dan tidak lagi berpolitiking sepanjang masa," katanya.