Pharmaniaga percepat penghantaran bekalan vaksin bulan ini

Pharmaniaga dijangka menyelesaikan penghantaran 12.4 juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada kerajaan minggu depan. - Foto Bernama
Pharmaniaga dijangka menyelesaikan penghantaran 12.4 juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada kerajaan minggu depan. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pharmaniaga LifeScience Sdn Bhd (PLS), anak syarikat Pharmaniaga Berhad (Pharmaniaga), dijangka menyelesaikan penghantaran 12.4 juta dos vaksin Covid-19 jenis Sinovac kepada kerajaan minggu depan, berbanding perjanjian asal pada November.

Pengarah Urusan Kumpulan Pharmaniaga Berhad, Datuk Zulkarnain Md Eusope berkata, pembekalan itu dipercepatkan empat bulan lebih awal susulan lonjakan kes baharu sejak April lepas dan PLS beroperasi 24 jam setiap hari bagi memastikan sasaran itu tercapai.

Zulkarnain berkata, sehingga kini, PLS telah melakukan penghantaran 11.5 juta dos vaksin Sinovac Covid-19 atau 93 peratus, meliputi 3.6 juta dos vaksin secara pengilangan 'fill and finish' dan 7.9 juta produk siap yang diimport.

“Pharmaniaga telah menandatangani kontrak untuk membekalkan vaksin kepada kerajaan kira-kira 12 juta dos yang dalam kontrak itu kita perlu menghabiskan penghantaran hingga bulan November.

“Tetapi oleh kerana keadaan Covid-19 di dalam negara telah meningkat, kita (Pharmaniaga) telah meminta mempercepatkan penghantaran, alhamdulillah kita telah membuat ‘mixed and match’...kita mengimport ‘finish goods directly’ daripada Sinovac China untuk kita bekalkan kepada kerajaan,” katanya ketika sidang media secara maya berkenaan perkembangan terkini pengagihan vaksin Sinovac, pada Rabu.

Mengulas lanjut, Zulkarnain berkata, setakat ini, PLS menyediakan 5.5 juta dos vaksin secara pengilangan 'fill and finish' dan daripada jumlah itu, 3.6 juta yang mendapat kelulusan Badan Regulatori Farmasi Negara (NPRA) telah dihantar.

Dalam pada itu, beliau berkata, Pharmaniaga bersedia untuk mengagihkan bekalan tambahan seperti permohonan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pihaknya akan membuat tawaran dua juta dos bekalan tambahan kepada pihak kerajaan.

“Kita menunggu arahan seterusnya daripada pihak kerajaan...sekiranya ingin mendapatkan bekalan ini, kita akan memberi kerjasama dan terus membekalkannya sebelum akhir Julai,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain, Zulkarnain memaklumkan bahawa Pharmaniaga turut bersedia untuk membekalkan kepada kerajaan negeri dan sektor swasta selepas semua pembekalan kepada kerajaan pusat dipenuhi.Katanya, sehingga kini, PLS telah menerima tempahan lima juta dos vaksin daripada kerajaan negeri dan sektor swasta. - Bernama