Sidang DUN Negeri Sembilan awal September

Aminuddin pada sidang media secara maya pada Rabu.
Aminuddin pada sidang media secara maya pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Dewan Undangan Negeri (DUN) Negeri Sembilan akan mula bersidang pada 3,6,7,dan 8 September ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir memperkenankan pelaksanaan sidang DUN secara bersemuka dan akan merasmikan persidangan itu pada minggu pertama September depan.

"Antara agenda persidangan ialah membahaskan titah ucapan Tuanku Muhriz, perbahasan dan beberapa rang undang-undang yang akan dibawa pada persidangan itu," katanya pada sidang akhbar secara webinar selepas mempengerusikan mesyuarat Exco di Wisma Negeri dekat sini pada Rabu.

Kali terakhir sidang DUN Negeri Sembilan diadakan pada awal Disember lalu membabitkan pembentangan Bajet 2021.

Aminuddin melancarkan inisiatif takaful khairat kematian kepada golongan B40 secara maya pada Rabu.
Aminuddin melancarkan inisiatif takaful khairat kematian kepada golongan B40 secara maya pada Rabu.

Dalam pada itu, Aminuddin memberitahu, kerajaan negeri telah melancarkan inisiatif takaful khairat kematian bagi golongan B40 yang berdaftar di bawah e-Kasih kerajaan Negeri Sembilan.

Katanya, melalui inisiatif itu seramai lebih 34,000 isi rumah akan memiliki takaful khairat kematian yang memperuntukkan sebanyak RM1.5 juta bagi 12 bulan caruman.

"Di bawah inisiatif ini ketua keluarga bersama isteri dan dua anak mereka akan dilindungi dan antara manfaatnya ialah bayaran sebanyak RM2,000 bagi bantuan kecemasan membabitkan kematian penama dan RM6,000 pelindungan tunai kepada waris yang melibatkan kematian akibat kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Caruman ini akan bermula pada 1 Ogos secara automatik melalui senarai e-Kasih yang sedia ada," katanya.