93 laporan polis dibuat NUBE terhadap CEO HSBC Bank Malaysia

Kenyataan media NUBE
Kenyataan media NUBE
A
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 93 laporan polis di seluruh negara dibuat oleh Kesatuan Kebangsaan Pekerja-pekerja Bank (NUBE) terhadap Ketua Pegawai Operasi (CEO) HSBC Bank Malaysia Berhad, Stuart Milne susulan keputusannya untuk menghentikan pekerja.

Setiausaha Agungnya, J Solomon berkata, tindakan itu didakwa tidak menghormati titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah semasa krisis pandemik Covid-19 yang berlaku di Malaysia ketika ini.

"Tahun lalu, pada 18 Mei 2020, ketika terdapat hanya 44 kes baharu Covid-19, Yang di-Pertuan Agong, dalam titah Diraja telah menggesa para majikan agar tidak membuang pekerja mereka dengan sewenang-wenangnya dan menasihatkan semua pihak melakukan peranan serta pengorbanan demi menyelamatkan ekonomi negara.

"Pada 3 Jun lalu, CEO HSBC Bank Malaysia telah memilih untuk mengumumkan skim pemberhentian pekerja melibatkan 600 pekerja ketika kes baharu Covid-19 melonjak ke paras 8,209 dengan 103 kematian.

"Pengumuman ini dibuat walaupun keuntungan besar dicatatkan oleh Bank, lebih-lebih lagi ia melibatkan kumpulan sasaran B40 dan M40," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Mengulas lanjut, Solomon menyifatkan pengumuman dilakukan CEO itu jelas dengan sengaja untuk memperlekehkan nasihat Seri Paduka Baginda.

Jelasnya, dalam keadaan normal, pihak kerajaan akan bertindak dengan segera untuk menangani ketidakpatuhan ke atas titah Seri Paduka Baginda oleh pihak HSBC.

Beliau turut mendakwa menteri kini sibuk dengan mengutamaan cita-cita politik dan telah mengabaikan kepentingan dalam melindungi institusi beraja.

Artikel Berkaitan:

"Jelas bahawa keutamaan kerajaan telah dikompromi selepas jumlah kes dan kematian baharu yang tinggi pada Jun dan Julai 2021 akibat Covid-19,

"Namun, kami yakin bahawa pihak PDRM tidak akan berkompromi dalam memberikan perlindungan sewajarnya ke atas institusi diraja dan rakyat.

"Bagi NUBE, ketidakpatuhan Milne adalah satu pengkhianatan kepada Raja kita dan tidak boleh diterima oleh rakyat Malaysia," katanya.

Tambah beliau, pihaknya berbangga dan berterima kasih kepada 93 pegawai dan anggota NUBE yang sanggup ke balai polis di seluruh negara untuk membuat laporan demi melindungi institusi diraja dan pekerja-pekerja yang menjalani kecederaan mental disebabkan tindakan CEO HSBC Bank Malaysia.