Pasangan kekasih ditahan bersama RM1.4 juta dadah

Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan wang dan dadah yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah yang ditahan pada 12 Julai lalu.
Mohd Shuhaily (tengah) menunjukkan wang dan dadah yang dirampas dari sindiket pengedaran dadah yang ditahan pada 12 Julai lalu.
A
A
A

GEORGETOWN - Pasangan kekasih ditahan bersama dua lelaki selepas didapati terlibat dalam aktiviti pengedaran dadah di dua lokasi berbeza pada Isnin lalu.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, serbuan pertama adalah di hadapan sebuah rumah teres satu tingkat di kawasan Perai pada jam 8.30 malam.

Menurutnya, dalam serbuan itu, polis menahan dua lelaki berusia 42 dan 34 tahun bersama 27 bungkusan dadah jenis syabu seberat 29.1 kilogram (kg).

"Selepas penahanan dua lelaki itu, kita memeriksa rumah teres tersebut yang dipercayai lokasi sindiket terbabit. Hasil pemeriksaan, kita menahan seorang wanita berusia 25 tahun yang berada di dalam kediaman tersebut.

"Wanita itu merupakan kekasih kepada dalang sindiket terbabit iaitu lelaki yang berusia 42 tahun itu. Kita turut merampas wang tunai berjumlah RM760,000 dan barang kemas bernilai RM55,000 di kediaman itu," katanya pada sidang akhbar di Ibu pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Mohd Shuhaily berkata, hasil penahanan tiga suspek itu, polis merampas sepucuk pistol jenis CZ75B Cal.9Luger; satu kelopak bersama 13 butir peluru; 4.3kg heroin base, heroin (8.6kg) dan 52.1kg kafein di sebuah rumah di Seberang Jaya.

"Kita turut menahan seorang lagi lelaki berusia 33 tahun yang merupakan ahli sindiket di Simpang Ampat dengan kesemua dadah yang dirampas bernilai RM1.4 juta.

"Ia adalah untuk pasaran di sekitar negeri ini dengan semua rampasan itu boleh digunakan 404,500 penagih. Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Polis turut merampas sepucuk pistol dan 13 butir peluru dari sindiket terbabit.
Polis turut merampas sepucuk pistol dan 13 butir peluru dari sindiket terbabit.

Dalam pada itu, Mohd Shuhaily berkata, polis turut menyita sembilan buah kenderaan iaitu enam kereta, sebuah motosikal berkuasa tinggi, sebuah lori dan sebuah basikal dengan bernilai keseluruhan RM366,150.

"Selain kenderaan, kita juga menyita wang tunai RM790,000 dan wang dalam akaun berjumlah RM45,623 menjadikan nilai keseluruhan sitaan adalah RM1.25 juta.

"Nilai keseluruhan rampasan dadah dan sitaan harta adalah RM2.73 juta," katanya.

Beliau berkata, empat suspek yang ditahan mempunyai pelbagai rekod lampau berkaitan jenayah serta dadah.

"Dua suspek lelaki tidak bekerja manakala suspek lelaki ketiga bekerja sebagai penternak ayam. Sementara itu, wanita berkenaan menjalankan perniagaan makanan.

"Ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki itu positif dadah manakala seorang lagi lelaki dan wanita tersebut negatif. Mereka direman tujuh hari untuk siasatan lanjut," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.