11,618 kes baharu Covid-19 hari ini

Dr Noor Hisham
Dr Noor Hisham
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Kes positif Covid-19 terus merekodkan peningkatan sehingga lima angka dengan 11,618 kes baharu dilaporkan pada Rabu.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, Lembah Klang masih menjadi menyumbang utama peningkatan kes tersebut apabila Selangor merekodkan 5,051 kes dan Kuala Lumpur 1,749 kes.

Menurut beliau, ia diikuti Negeri Sembilan (1,537), Melaka (529), Kedah (504), Pahang (400), Johor (396), Sarawak (289), Sabah (286), Kelantan (236), Pulau Pinang,(210), Terengganu (189), Putrajaya (40), Labuan (38) dan Perlis (tiga).

"Daripada jumlah kes baharu terdapat 26 kes import, manakala kes penularan dalam negara adalah 11,592 membabitkan 9,659 rakyat tempatan dan 1,933 warga asing," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Dr Noor Hisham berkata, pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak 867,567 kes dan jumlah kes aktif pula, 101,359 kes.

"Seramai 878 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 432 kes memerlukan bantuan pernafasan," katanya.

Beliau berkata, peningkatan kes harian adalah sejajar dengan jumlah kenaikan saringan Covid-19 iaitu hasil saringan bertumpu yang sedang giat dijalankan di seluruh negara khususnya di Lembah Klang.

"Jumlah ujian harian tertinggi bagi tempoh dua minggu telah direkodkan pada 13 Julai iaitu sebanyak 131,706 ujian RT-PCR dan RTK-Ag," katanya.

Tambah beliau, masih terdapat kapasiti untuk menjalankan lebih banyak ujian terutamanya di makmal swasta.

"Kapasiti ini akan digunapakai sebaik-baiknya bagi menjalankan lebih banyak ujian Covid-19 secara strategik," katanya.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat 118 kes kematian membabitkan 108 rakyat tempatan dan 10 warga asing.

"Kes kematian hari ini (Rabu) melibatkan 46 kes di Selangor, Kuala Lumpur (18), Negeri Sembilan (16), Johor (13) Kedah (lima), Sabah (empat) dan Sarawak (empat).

"Dua kes di Labuan, Kelantan, Perak, Pahang dan Melaka manakala satu kes di Pulau Pinang serta Terengganu. Pertambahan itu menjadikan jumlah keseluruhan kes kematian adalah 6,503 kes," katanya.

Katanya, seramai 6,377 pesakit telah sembuh dan jumlah kumulatif kes sembuh adalah 759,705 kes.

Dalam pada itu, menurut Dr Noor Hisham, terdapat 26 kluster baharu dikenalpasti yang mana 15 daripadanya adalah kluster tempat kerja.

"Sebanyak tujuh kluster komuniti dan empat kluster kumpulan berisiko tinggi turut dikesan.

"Jumlah kluster adalah 3,142 dan 2,266 telah diisytiharkan tamat, manakala 876 lagi masih aktif," katanya.