X

Kindly register in order to view this article
!

[VIDEO] Syed Saddiq hanya mohon agihan bantuan rumah ke rumah

Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay
A
A

JOHOR BAHRU- Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman tidak mengemukakan sebarang permohonan untuk membuat agihan berpusat di Pejabat Parlimen Muar, sebaliknya hanya membuat permohonan agihan barangan keperluan dari rumah ke rumah.

Susulan itu, program agihan bantuan makanan yang dijalankannya diminta untuk dihentikan kerana tidak mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah Muar.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, Syed Saddiq hanya diberi kebenaran untuk membuat agihan barangan keperluan dari rumah ke rumah dan bukannya secara agihan di Pejabat Parlimen Muar.

"Tindakan untuk menghentikan program serahan bantuan di pejabat berkenaan dibuat oleh penguat kuasa Pejabat Kesihatan Daerah Muar.

"Arahan itu dibuat kerana pegawai kesihatan melihat program yang dihadiri lebih 100 orang dan tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan dalam tempoh pandemik Covid-19 ini.

"Ahli Parlimen atau Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) memang dibenarkan untuk menjalankan aktiviti memberikan bantuan tetapi perlu mendapat kebenaran daripada Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB) Daerah.

"Saya difahamkan permohonan ada dibuat, tetapi permohonan itu untuk mengedarkan bakul makanan dari rumah ke rumah, tetapi apa yang berlaku adalah pengedaran barangan dibuat secara berpusat.

"Jadi, kesalahan mereka adalah tidak mempunyai kebenaran untuk mengadakan program sedemikian di pusat itu dan kehadiran orang terlalu ramai hingga tiada penjarakkan sosial," katanya pada sidang akhbar yang diadakan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor, pada Rabu.

Ayob turut menasihatkan mana-mana wakil rakyat yang mahu melakukan program untuk mengikut SOP yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan memohon kebenaran PKOB.

Terdahulu, Syed Saddiq dalam hantaran Facebooknya pada Selasa berkata, Pejabat Parlimen Muar diarahkan tutup oleh polis setelah menerima kehadiran 'luar biasa' orang ramai ke pusat berkenaan sejak Ahad lalu.

Jelasnya, pihak polis telah datang ke pejabatnya semalam dan mengarahkannya supaya ditutup.

ARTIKEL BERKAITAN Ramai beratur terima bantuan, Pejabat Parlimen Muar diarah tutup


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!