Kedutaan China bantu golongan memerlukan menjelang Aidiladha

Mohd Chan (tiga dari kiri) bersama Shiela (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima pada program itu di Masjid Jamek Saad Abu Waqqas Batu 4 pada Rabu.
Mohd Chan (tiga dari kiri) bersama Shiela (dua dari kanan) menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada salah seorang penerima pada program itu di Masjid Jamek Saad Abu Waqqas Batu 4 pada Rabu.
A
A
A

GOMBAK - Kedutaan China di Malaysia dengan kerjasama Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan mengambil inisiatif membantu golongan memerlukan menerusi penyerahan sumbangan barangan asas sempena ketibaan Hari Raya Aidiladha tidak lama lagi.

Pemberian sumbangan itu meliputi 1,050 pek barangan keperluan asas bersama 20 kerusi roda untuk diagihkan kepada golongan asnaf, mualaf, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal sekitar Lembah Klang.

Pengerusi Pertubuhan Kebajikan Mohd Chan, Datuk Mohd Chan Abdullah berkata, pihaknya akan mengagihkan barangan berkenaan ke sembilan lokasi sekitar Lembah Klang antaranya Selayang, Gombak, Subang, Cheras dan Kajang.

"Berikutan kawasan di Lembah Klang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), kami mengambil inisiatif ini bagi membantu mereka yang memerlukan ketika saat mencabar ini," katanya kepada Sinar Harian selepas majlis ringkas penyerahan sumbangan itu yang berlangsung di Masjid Jamek Saad Abu Waqqas Batu 4 di sini pada Rabu.

Hadir sama sewaktu penyerahan sumbangan itu adalah Pengerusi Yayasan Muallaf Malaysia, Shiela Lama Abdullah.

Dalam pada itu, Mohd Chan berkata, pihaknya berharap agar Kedutaan China di negara ini dapat menambah jumlah sumbangan berkenaan bagi membolehkan program itu dikembangkan sekali gus membantu lebih ramai pihak memerlukan.

"Ketika saat mencabar ini banyak pihak sangat memerlukan bantuan dan jika sumbangan ini ditambah, kita dapat bantu lebih ramai golongan memerlukan di luar sana," katanya.

Sementara itu, salah seorang penerima, Hamdan Kamal, 57, menzahirkan ucapan terima kasih kepada Kedutaan China yang mengambil inisiatif memberi sumbangan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Hamdan berkata, dia yang merupakan seorang pesara amat menghargai sumbangan itu dalam membantunya menyara keperluan empat anaknya yang masih bersekolah.

"Ketika PKPD ini banyak kerja tidak dapat dilaksanakan dan sumbangan ini amat membantu kami sekeluarga," katanya.