Pemansuhan tol diharap tidak menjejaskan projek infrastruktur

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Rancangan kerajaan untuk memansuhkan tol lebuh raya di Malaysia adalah satu langkah yang baik bagi mengurangkan kos sara hidup, tetapi ia diharap tidak akan menjejaskan pembangunan projek infrastruktur yang lain, kata seorang pakar ekonomi.

Naib Presiden Kanan (Pelaburan) Phillip Capital Management, Datuk Dr Nazri Khan Adam Khan berkata, kerajaan telah melaksanakan langkah pertama bagi memenuhi janji-janji pilihan raya umum (PRU) melalui rundingan dengan Gamuda Bhd untuk mengambil alih empat konsesi lebuh raya merangkumi Lebuhraya Damansara Puchong (LDP), Lebuhraya Sprint, Lebuhraya Shah Alam (Kesas) dan Terowong SMART.

Gamuda mempunyai kepentingan utama dalam konsesi lebuh raya terbabit iaitu 70 peratus dalam Kesas, 52 peratus (Sprint), 50 peratus (SMART) dan 44 peratus dalam Litrak.

"Kami sedang menunggu syarat-syarat kerajaan, kami berharap bahawa terma-terma ini adalah lebih telus tetapi tetapi sewajarnya, kajian yang lebih mendalam perlu dilakukan.

“Perkara yang paling penting ialah apa pun keputusan kerajaan, ia seharusnya tidak menjejaskan projek-projek ekonomi yang lain," katanya kepada Bernama hari ini.

Beliau juga berharap keputusan itu benar-benar telus bagi tujuan pembangunan dan kepentingan ekonomi serta negara, dan bukan mengenai politik.

Perjanjian itu mungkin tidak menguntungkan Gamuda tetapi ia akan menjadi satu langkah yang baik dalam memenuhi manifesto PRU kerajaan bagi memansuhkan kutipan tol.

Ditanya sama ada kerajaan berupaya untuk memperolehi semua konsesi tol di Malaysia, beliau berkata kerajaan mempunyai keupayaan untuk berbuat demikian, tetapi satu kajian yang mendalam perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang kesulitan pada masa akan datang.

Artikel Berkaitan:

"Sudah tentu kerajaan mampu mengambil alih, bergantung kepada perkiraan. Mereka boleh menerbitkan sukuk atau pinjaman mudah (bagi membiayai pengambilalihan) tetapi pada akhirnya, kerajaan perlu membuat kajian mendalam kerana kami tidak mahu masalah lain seperti isu penyelenggaraan dan sebagainya," kata Nazri Khan lagi.

Kerajaan juga perlu komited sepenuhnya untuk memastikan bahawa tidak akan ada kelompongan dalam operasi jika mereka membuat keputusan untuk memiliknegarakan jalan bertol.

"Apa-apa laba yang diterima, ia perlu disalurkan kembali kepada pembangunan pengangkutan di Malaysia," katanya.

Sekarang ini, terdapat 29 lebuh raya bertol di seluruh negara dan kerajaan bakal menanggung anggaran kos sebanyak antara RM130 bilion hingga RM145 bilion, termasuk RM52 bilion dalam hutang, jika ia mahu mengambil alih kesemua konsesi tol.

Kos tahunan membabitkan jalan bertol dianggarkan berjumlah RM1.5 bilion hingga RM2.5 bilion.

Gamuda dalam maklumannya kepada Bursa Malaysia hari ini berkata syarikat itu akan terus menjalankan tanggungjawab fidusiarinya bagi menyampaikan nilai yang saksama dan berpatutan kepada semua para pemegang saham.

"Gamuda perlu memastikan bahawa transaksi yang dicadangkan adalah berdasarkan kepada penilaian pasaran serta amalan yang norma," katanya.

Sementara itu, firma-firma penyelidikan meramalkan bahawa pendapatan Gamuda akan terjejas jika pengambilalihan tersebut benar-benar berlaku.

Maybank Investment Bank dalam nota penyelidikan berkata, berdasarkan kepada analisa kepekaannya, anggaran bagi tahun kewangan Gamuda pada 2020 dan 2021 mungkin menurun, masing-masing sebanyak 36 peratus dan 43 peratus tanpa sumbangan daripada keempat-empat lebuh raya itu.

Dianggarkan juga, pendapatan syarikat untuk tahun kewangan 2019 dengan andaian impak setengah tahun, mungkin mencatatkan hasil yang lebih rendah iaitu sebanyak 16 peratus.

MIDF Amanah Investment Bank dalam satu nota berasingan berkata segmen konsesi menyumbangkan sehingga 41 peratus daripada keuntungan sebelum cukai tahun kewangan 2018 Gamuda, ia merupakan sumber pendapatan yang kukuh kepada syarikat.

"Selepas pengambilalihan selesai, kumpulan akan kehilangan pendapatan berulang yang stabil.

"Kami percaya kesan kepada pendapatan Gamuda adalah bersih negatif, kerana langkah itu akan menyebabkan kehilangan pendapatan," katanya.

Sementara itu, Public Investment Bank berkata dengan aset konsesi lebuh raya Gamuda bernilai lebih kurang RM5.01 bilion, dimana bahagian efektif Gamuda adalah sebanyak RM2.69 bilion, syarikat berkenaan bakal menjadi sebuah syarikat yang kaya dengan tunai selepas perjanjian pengambilalihan diselesaikan.

"Berdasarkan kepada rekod Gamuda pada tahun kewangan 2018, syarikat itu memiliki tunai dalam tangan sebanyak RM1.2 bilion sementara jumlah hutang adalah kira-kira RM5.7 bilion.

"Nisbah penggearan kumpulan akan dikurangkan kepada 0.4 kali daripada 0.54 kali pada suku pertama tahun kewangan 2019 selepas menerima RM1.9 bilion sebagai tunai pendahuluan dan baki sebanyak RM650 juta dalam ansuran selama sembilan tahun daripada jualan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Selangor Holdings Bhd (Splash).

"Ini akan dikurangkan lagi selepas cadangan pengambilalihan lebuh raya berkenaan dipenuhi," katanya lagi.

Pada Ogos tahun lepas, para pemegang saham Splash telah menerima tawaran Air Selangor sebanyak RM2.55 bilion untuk membeli 100 peratus ekuiti dalam syarikat terbabit.

Gamuda mempunyai 40 peratus kepentingan dalam Splash.

Maybank Investment Bank pula mengekalkan saranan "pegang" dengan sasaran harga RM2.70 ke atas Gamuda manakala MIDF telah menurunkan penilaian Gamuda kepada "neutral" daripada "beli", tetapi mengekalkan harga sasaran pada RM2.89.

Public Investment Bank juga telah menurunkan penilaian Gamuda kepada "neutral" daripada "cemerlang” dan mengurangkan harga sasaran kepada RM2.75 berbanding RM3.14 sebelum ini. - Bernama