JPJ Kelantan kumpul dana agih sumbangan

Azizah (kanan) terharu menerima sumbangan bakul makanan daripada Hanif Yusabra (tengah).
Azizah (kanan) terharu menerima sumbangan bakul makanan daripada Hanif Yusabra (tengah).
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mengagihkan sumbangan 50 bakul makanan hasil kutipan dana daripada kakitangan mereka.

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, agihan dilakukan menerusi Program Insaniah jabatan itu bermula di Kampung Chicha Menyabong, di sini pada Rabu.

Menurutnya, sumbangan membabitkan barangan asas termasuk beras, telur dan tepung gandum serta wang kepada penerima yang dipilih hasil maklumat orang ramai.

“Penerima terdiri daripada golongan asnaf, ibu tunggal dan mereka yang terjejas pendapatan semasa pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita di Kampung Chicha, di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut, penganjuran program itu turut menggalakkan anggota dan kakitangan JPJ Negeri Kelantan memupuk sikap prihatin dan budaya empati kepada masyarakat.

“Program seumpama ini akan diperluaskan lagi supaya lebih ramai dapat dibantu dalam tempoh pandemik Covid-19. Kita turut mengalu-alukan pihak yang ingin memberi sumbangan.

“Kami mahu meringankan beban golongan yang memerlukan selain menceriakan mereka dan mengeratkan hubungan antara agensi penguat kuasa dengan masyarakat,” katanya.

Seorang penerima, ibu tunggal, Azizah Chik,67, berkata, sumbangan itu melegakannya yang hilang punca pendapatan selepas kematian suami pada tahun 2019.

Artikel Berkaitan:

“Saya tinggal sendirian di rumah peninggalan arwah. Dua anak yang sudah berkeluarga kini tinggal berasingan dan ada mengirim sedikit wang belanja untuk saya di kampung.

“Anak lelaki bekerja sebagai pengawal keselamatan tinggal berhampiran manakala seorang lagi jururawat bekerja di Kuala Lumpur,” katanya.