532 kakitangan JKN bantu negeri tinggi kes Covid-19

Program Vaksinasi Covid-19 Bergerak di Masjid Kusial Bharu, Tanah Merah dilakukan diatas sebuah bas yang disumbangkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan.
Program Vaksinasi Covid-19 Bergerak di Masjid Kusial Bharu, Tanah Merah dilakukan diatas sebuah bas yang disumbangkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Negeri Kelantan.
A
A
A

TANAH MERAH - Seramai 532 orang kakitangan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Kelantan dihantar ke lima negeri utama yang mempunyai peningkatan kes Covid-19 yang tinggi bagi membantu meringankan bebanan pasukan barisan hadapan di sana.

Pengarahnya, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, mobilisasi kakitangan yang bermula sejak 7 Julai lalu itu melibatkan enam negeri iaitu JKN Selangor, Sabah, Labuan, Kedah dan Johor yang akan ditempatkan mengikut keperluan jabatan.

"Peningkatan kes berlaku di pantai barat iaitu Selangor dan sebagainya, maka mereka memerlukan bantuan daripada banyak negeri termasuklah di Kelantan.

"Setakat ini seramai 532 anggota pelbagai kategori telah kita hantar ke lokasi-lokasi berkenaan dan Insya-ALLAH akan hantar lagi 40 orang dalam waktu terdekat ini," katanya kepada pemberita di sini pada Rabu.

Beliau hadir pada Program Mobile Vaksinasi Covid-19 di Masjid Kusial Bharu, Tanah Merah. Turut hadir, Ketua Jajahan Tanah Merah, Mohammad Yusoff Hassan dan Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Kelantan, Penolong Pesuruhjaya Bomba (PPjB) Jainal @ Zainal Madasin.

Mengulas lanjut, Zaini berkata, pihaknya juga berharap apa yang berlaku di Selangor dapat diatasi pada kadar segera dan bantuan yang dihulurkan atas dasar untuk membantu rakan-rakan di negeri-negeri terlibat.

Sementara itu, Zaini turut menasihatkan orang ramai supaya menangguh dahulu sebarang perjalanan masuk ke negeri ini bagi memastikan peningkatan kes dapat dikawal sebaik mungkin.

"Saya berharap orang ramai yang ingin pulang ke sini (Kelantan) lebih baik tangguh dahulu jika tidak betul-betul penting sebab kita pun tidak mahu peningkatan kes berlaku di Kelantan, dalam erti kata lain bawa varian lain masuk ke sini.

Artikel Berkaitan:

"Bukan sahaja untuk kebaikan mereka tapi keluarga juga penting. Harap peningkatan yang pernah kita alami dulu tidak berlaku lagi pada masa hadapan. Kita jangkakan keinginan rakyat untuk balik kampung adalah tinggi pada musim raya, jadi walaupun bukan musim raya, kalau tidak penting, lebih baik tangguh dulu perjalanan," katanya.