Lelaki lari pemeriksaan polis diberkas

Abd Khalid
Abd Khalid
A
A
A

SUBANG JAYA - Seorang lelaki ditahan kerana cuba melarikan daripada pemeriksaan polis di kilometer 34.4 Lebuhraya Shah Alam (Kesas) di sini pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Abd Khalid Othman berkata, sepasukan anggota dari cawangan kereta peronda (MPV) ternampak sebuah kereta Proton Waja dalam keadaan mencurigakan pada jam 1.20 pagi.

Menurut beliau, ketika itu anggota mengarahkan pemandu kereta terbabit memberhentikan kenderaannya untuk pemeriksaan, namun pemandunya terus memecut laju ke arah Shah Alam.

"Anggota polis bersama MPV Shah Alam mengejar kereta itu sehingga ke Jalan Anggerik Tainia 31/116 Kota Kemuning Shah Alam.

"Kereta yang dinaiki dua suspek itu telah berhenti, namun mereka cuba melarikan diri. Salah seorang suspek warga tempatan berusia 51 tahun berjaya ditahan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Rabu.

Abd Khalid berkata, berlaku pergelutan kecil antara suspek dengan anggota polis ketika tangkapan.

"Suspek mendakwa rakannya yang melarikan diri itu adalah warga Thailand dan siasatan awal dipercayai suspek warga asing itu tidak mempunyai dokumen," katanya.

Beliau berkata, pemeriksaan dalam kenderaan tersebut dan badan suspek tidak menjumpai apa-apa barang salah.

Artikel Berkaitan:

"Semakan lanjut mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan kes dadah pada 2013," katanya.

Abd Khalid berkata, suspek dan kereta berkenaan telah dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya untuk tindakan lanjut.

"Suspek direman dua hari bermula hari ini (Rabu) hingga esok (Khamis) bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 186/188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 42 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.