Datuk Seri antara 20 individu ditahan terlibat kegiatan ah long

No Image Caption
A
A
A

GEORGETOWN - [DIKEMAS KINI] Polis menahan 20 individu termasuk seorang bergelar Datuk Seri selepas didapati terlibat dalam pemberian pinjaman wang tanpa lesen dengan mengenakan faedah pinjaman yang tinggi.

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kesemua tangkapan berusia lingkungan antara 21 hingga 59 tahun itu ditahan di sekitar negeri ini pada 7 Julai lalu, di antara jam 6 pagi hingga 5 petang.

Menurutnya, kesemua tangkapan terdiri daripada dua kumpulan manakala seorang lagi bergerak sendiri.

"Kumpulan pertama melibatkan 15 orang yang mana kumpulan itu diketuai seorang lelaki bergelar Datuk Seri berusia 59 tahun.

"Sementara itu, kumpulan kedua terdiri daripada empat orang dan diketuai lelaki berusia 25 tahun. Tangkapan terakhir adalah seorang lelaki yang bergerak sendiri berusia 36 tahun," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pulau Pinang di sini pada Rabu.

Katanya, siasatan awal mendapati, Datuk Seri tersebut merupakan ahli kongsi gelap terbesar di Pulau Pinang iaitu dari Geng 24.

"Aktiviti utama kumpulan ini antaranya perjudian, dadah, pelacuran dan pemerasan. Modus operandi mereka adalah dengan menawarkan pinjaman dan mengenakan faedah yang tinggi antara 30 hingga 50 peratus sebulan.

"Sekiranya peminjam gagal melunaskan hutang mereka, ahli kumpulan tersebut akan mengugut dan mencederakan mereka. Kumpulan ini mempunyai senjata api dan senjata tajam untuk tujuan pemerasan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mohd Shuhaily berkata, transaksi pinjaman yang dikenakan adalah antara RM1,000 hingga RM100,000 yang menggunakan akaun sendiri keluarga atau rakan peminjam.

"Kumpulan ini mampu memperoleh keuntungan sehingga setengah juta ringgit setiap bulan, hanya dengan aktiviti pinjaman wang tidak berlesen ini.

"Antara peminjam yang meminjam daripada kumpulan ini adalah pemilik kedai; pemilik kilang, pekerja swasta dan peniaga kecil," katanya.

Katanya, polis merampas 11 buah kenderaan mewah antaranya jenis Toyota Vellfire, BMW, Mercedes Benz dan Honda.

"Kita turut merampas 36 buah telefon bimbit; 64 keping kad bank; 22 set kad perniagaan; wang tunai bernilai RM24,520, sembilan utas jam tangan dan tujuh unit barang kemas.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 5(2) Akta Pemberi Pinjam Wang 1951," katanya.