Kejar trip: 3,814 kes lori bawa lebih muatan setakat Jun

Pemeriksaan terhadap lori balak dilakukan oleh penguat kuasa JPJ Kelantan. (Gambar kecil: Hanif Yusabra)
Pemeriksaan terhadap lori balak dilakukan oleh penguat kuasa JPJ Kelantan. (Gambar kecil: Hanif Yusabra)
A
A
A

KOTA BHARU - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan merekodkan peningkatan kesalahan sebanyak 159 peratus oleh kenderaan berat yang membawa lebih muatan dan berbahaya tahun ini dipercayai kerana mengejar trip dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Pengarah JPJ Kelantan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, kesalahan tersebut meningkat sebanyak 2,344 pada Januari hingga Jun tahun ini berbanding tempoh sama tahun lalu.

Katanya, pada Januari sehingga Jun tahun ini sebanyak 3,814 kesalahan direkodkan berbanding 1,470 pada tempoh sama tahun lalu.

“Ada lori yang membawa pelbagai barangan antaranya balak, pasir, batuan dan barangan kontraban berlebih muatan dan berbahaya.

“Mereka dipercayai mengambil kesempatan untuk mengejar trip semasa tempoh PKP 3.0,” katanya kepada pemberita di Kampung Chicha Menyabong di sini pada Rabu.

Beliau sebelum itu menyampaikan sumbangan kepada 50 keluarga terdiri daripada asnaf dan ibu tunggal pada Program Insaniah JPJ Kelantan.

Mengulas lanjut, tindakan diambil mengikut Seksyen 57(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 (lebih muatan) dan Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Hanif Yusabra berkata, penguatkuasaan juga dipertingkatkan dengan 63,141 kenderaan diperiksa sehingga Jun tahun ini dan 10,665 daripadanya diambil tindakan dengan 21,324 notis dikeluarkan.

Artikel Berkaitan:

“Dalam tempoh ini, JPJ lebih mengamalkan pendekatan advokasi atau memberi nasihat kepada pengguna kerana turut prihatin dengan keadaan semasa rakyat ketika pandemik.

“Penguatkuasaan bagaimanapun tetap diteruskan dan dipertingkatkan bagi memastikan pengguna jalan raya terus mematuhi SOP sepanjang PKP,” katanya.