'Sukma 2020: Perlu ada wakil dari Batu Pahat'

Shahruddin (tiga, kanan) sewaktu merasmikan pembukaan Kejohanan Olahraga MSSD Batu Pahat di UTHM.
Shahruddin (tiga, kanan) sewaktu merasmikan pembukaan Kejohanan Olahraga MSSD Batu Pahat di UTHM.
A
A
A

BATU PAHAT - Majlis Sukan-Sukan Sekolah Daerah (MSSD) Batu Pahat perlu membantu kerajaan negeri terutama Majlis Sukan Negeri Johor (MSNJ) untuk mencari atlet dari daerah ini yang layak untuk Sukan Malaysia (Sukma) 2020.

Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh berkata, beliau secara peribadi juga berharap atlet dari daerah ini dapat dihantar untuk mewakili kontinjen Johor ke Sukma 2020 yang akan diadakan di negeri ini.

"Sebab itu saya minta MSSD Batu Pahat untuk melihat bakat-bakat pelajar yang mempunyai potensi untuk menyumbangkan pingat kepada negeri ini untuk digilap dan diberikan latihan insentif tidak kira melibatkan apa sahaja acara sekalipun.

"Saya yakin sebagai daerah yang mempunyai jumlah sekolah yang paling banyak di negeri ini, pasti ada beberapa atlet yang mungkin layak ke Majlis Sukan-Sukan Sekolah Negeri Johor (MSSJ) dan boleh digilap lagi bakat mereka," katanya.

Beliau yang juga Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan berkata kepada pemberita selepas merasmikan Pembukaan Rasmi Kejohanan Olahraga MSSD Batu Pahat di Stadium Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Batu Pahat, di sini, semalam.

Pada masa sama, beliau menasihatkan pelajar di daerah ini supaya mengikis pandangan bahawa aktiviti sukan sebagai kegiatan yang membuang masa kerana aktiviti tersebut sebenarnya mampu dijadikan sebagai kerjaya yang boleh menjamin masa hadapan.

"Ketika ini bidang sukan bukan hanya sekadar aktiviti mengisi masa lapang dan menjaga kesihatan sahaja, sebaliknya sebagai industri yang menyediakan begitu banyak peluang pekerjaan yang berkait rapat dengan kerjaya lain.

"Ramai tidak sedar bidang sukan ini mempunyai skop kerjaya yang cukup luas untuk diceburi oleh semua peringkat umur merangkumi bidang perniagaan, pengurusan dan kejurulatihan bukan sekadar untuk menjadi atlet dalam acara tertentu sahaja," katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kejayaan program pembangunan sukan yang dilaksanakan oleh kerajaan di peringkat sekolah juga tidak hanya bergantung kepada guru semata-mata, sebaliknya golongan ibu bapa perlu memainkan peranan proaktif bersama-sama.

Bagaimanapun katanya, bidang akademik dan sukan perlu diseimbangkan kerana kedua-duanya merupakan perkara penting untuk mencapai sesuatu kejayaan melahirkan barisan kepimpinan masa depan negara yang lebih berkualiti.