Chiellini akui menyumpah Saka dengan jeritan ‘Kiricocho’

Sepakan penalti Bukayo Saka berjaya diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma pada aksi final Euro 2020. - Foto insider.com, salesground
Sepakan penalti Bukayo Saka berjaya diselamatkan penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma pada aksi final Euro 2020. - Foto insider.com, salesground
A
A
A

PERTAHANAN Itali, Giorgio Chiellini mengakui telah ‘menyumpah’ pemain England, Bukayo Saka dengan menjerit perkataan ‘Kiricocho’ agar pemain muda berkenaan gagal menyempurnakan sepakan penalti pada aksi final Euro 2020 di Wembley, pada Isnin.

Menurut Chiellini, dia menjerit perkataan berkenaan kerana ia difahamkan sering kali digunakan oleh pemain bola sepak bertujuan memberikan nasib malang kepada pihak lawan.

Justeru sebelum Saka melakukan sepakan, Chiellini mengakui telah menjerit ‘Kiricocho’ dan sepakan itu yang juga sepakan penalti kelima England itu kemudiannya berjaya diselamatkan oleh penjaga gol, Gianluigi Donnarumma, sekali gus mengesahkan Itali muncul juara Euro 2020.

Untuk rekod, pada perlawanan berkenaan, Itali dikejutkan dengan jaringan pembukaan England seawal minit kedua menerusi rembatan jarak dekat Luke Shaw.

Bagaimanapun, pertahanan veteran, Leonardo Banucci menjaringkan gol penyamaan pada minit ke-67 bagi mengheret perlawanan ke masa tambahan dan seterusnya ke penentuan sepakan penalti setelah kedua-dua pasukan terus buntu untuk menambah jaringan.

Itali menang 3-2 setelah Domenico Berardi, Leonardo Bonucci, Federico Bernardesci menjaringkan gol buat Azzurri manakala hanya Harry Kane dan Harry Maguire menjaringkan gol buat skuad The Three Lions.

Menurut sumber, perkataan ‘Kiricocho’ atau Quiricocho merujuk kepada seorang penyokong tegar kelab Liga Argentina, Estudiantes sekitar 80-an lalu bernama, Juan Carlos Kiricocho atau Quricocho.

Kiricocho dikatakan sering kali menghadiri sesi latihan Estudiantes sehingga menyebabkan ketua jurulatih ketika itu, Carlos Bilardo mulai mengesyaki kehadiran Kiricocho secara misteri telah menyebabkan kebanyakan pemainnya mengalami kecederaan secara tiba-tiba.

Artikel Berkaitan:

Bilardo kemudiannya meminta Kiricocho untuk menghadiri pula sesi latihan pasukan lawan Estudiantes dan diminta menggunakan ‘kuasa misteri’ miliknya untuk memastikan pemain lawan mengalami kecederaan.

“Kiricocho adalah seorang budak dari La Plata yang sering bersama kita dan sejak kita muncul juara pada 1982, kami telah menjadikannya sebagai maskot pasukan ini.

“Dia (Kiricocho) adalah budak yang baik tetapi saya tidak pernah menemuinya lagi selepas itu. Kali terakhir saya melihatnya adalah ketika melatih Estudiantes pada musim 2003-04 lalu.

“Saya ada juga bertanya mengenainya tetapi tiada siapa yang tahu mengenainya,” katanya.