'Dulu pinjam ah long, kini jadi pemungut hutang'

M Zambri
M Zambri
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Gara-gara gagal membayar pinjaman RM500 yang dilakukan dengan peminjam wang tidak berlesen atau ah long, seorang lelaki terpaksa menjadi pemungut hutang kepada ah long.

Perkara itu terbongkar susulan penahanan seorang lelaki berusia 20-an, selepas didapati melakukan khianat dengan menyimbah cat di sebuah rumah di daerah ini, pada bulan lalu.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Terengganu, Superintendan M Zambri Mahmud berkata, hasil siasatan lanjut, suspek mengaku melakukan khianat itu kerana bekerja dengan ah long selepas gagal melangsaikan hutangnya sebelum ini.

"Suspek menjelaskan sebelum ini dia ada membuat pinjaman wang dengan ah long tidak sampai RM500 tetapi disebabkan pelbagai faedah dikenakan, dia terpaksa membuat bayaran berganda daripada jumlah dipinjam.

"Disebabkan dalam keadaan terdesak ditambah lagi wakil ah long menawarkan peluang pekerjaan sekiranya dia gagal membuat bayaran, jadi dia terus bersetuju," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Mendedahkan perkara itu, M Zambri berkata, dalam tempoh diberikan, suspek mengakui dia memang tidak mampu hendak menjelaskan hutang tersebut sebelum ah long mengingatkan cagaran yang dipersetujuinya sebelum ini.

"Takut dengan ugutan diberikan sekiranya dia memungkiri janji, suspek bersetuju untuk bekerja dengan ah long terbabit sebelum diserahkan senarai beberapa nama peminjam yang gagal menjelaskan hutang berserta alamat.

"Suspek diarahkan 'mengganggu' mereka dengan pelbagai cara agar kehidupan peminjam tidak tenang termasuk melakukan perbuatan khianat dengan menyimbah cat selain bertindak ganas seperti diarahkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai taktik ah long itu, M Zambri berkata, pihak ah long hari ini dilihat makin licik dengan tidak melakukan ugutan kekerasan seperti yang biasa digunakan sebelum ini untuk mengaburi orang awam supaya membuat pinjaman dengan mereka.

"Mereka menawarkan peluang pekerjaan kepada peminjam bagi memudahkan 'urusan' pada masa akan datang sebagai cagaran kerana tahu sukar untuk mendapatkan pekerja yang sanggup untuk memungut hutang," katanya.

Pada masa sama, orang ramai diingatkan agar menjaga diri serta menjauhi daripada perkara yang boleh memberi risiko kepada keselamatan seperti menjadi ahli kongsi gelap atau meminjam duit dari ah long bagi mengelak daripada menjadi mangsa kekerasan jenayah.