Pengeluaran KWSP: Utamakan keperluan, bukan kehendak

Nuraizah ketika menjadi panelis program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
Nuraizah ketika menjadi panelis program Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

SHAH ALAM - Orang ramai perlu bijak dalam mengeluarkan dana dari akaun Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dengan mengutamakan keperluan bukan kehendak.

Ia susulan kerajaan memperkenalkan program i-Citra bagi membantu rakyat yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik Covid-19.

Kemudahan pengeluaran i-Citra itu juga merupakan kesinambungan inisiatif KWSP sebelum ini iaitu i-Sinar dan i-Lestari.

Presiden Persatuan Jaringan Usahawan Wanita, Nuraizah Shamsul Baharin berkata, orang ramai seharusnya mengeluarkan wang simpanan tersebut jika berhadapan dengan keadaan yang betul-betul mendesak.

“Apabila kerajaan memberikan insentif seperti moratorium dan i-Citra, ia tidak merangkumi semua orang. Hanya kepada mereka yang menyimpan dalam KWSP sahaja.

“Justeru, jika kita keluarkan duit ini terlalu awal, saya risau ia akan memberi kekangan yang lebih besar pada masa akan datang.

"Mungkin ada antara mereka sudah kehabisan wang simpanan selepas berakhirnya pandemik Covid-19,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panelis Wacana Sinar edisi ke-273 bertajuk ‘Moratorium & i-Citra: Semua Duit ‘i’ yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Program yang dikendalikan oleh Ismail Adnan itu turut menampilkan Pakar Ekonomi Asia e-University, Profesor Datuk Dr Shazali Abu Mansor dan Penganalisis Ekonomi, Datuk Dr Madeline Berma sebagai panelis jemputan.

Mengulas lanjut, Nuraizah berkata, selain mengeluarkan wang simpanan daripada KWSP untuk kegunaan keperluan harian, orang ramai juga boleh mengambil inisiatif tambahan seperti melabur dengan mana-mana agensi kewangan bagi tujuan menambahkan lagi dana atau wang simpanan.

“Kalau saya keluarkan duit RM5,000 daripada i-Citra, saya akan letak dalam satu dana pelaburan sekurang-kurangnya lima tahun.

"Jadi, lima tahun ini ia akan memberikan pulangan yang sangat baik tapi kita kena berhati-hati sebab zaman sekarang banyak berita pelaburan yang menjanjikan pulangan yang tak masuk akal,” ujar Nuraizah.