Langkah drastik perlu diambil kerajaan NS tangani kenaikan Covid-19

Danni
Danni
A
A
A

SEREMBAN - Kerajaan Negeri Sembilan digesa supaya mengambil langkah drastik berhubung kenaikan mendadak lebih 1,000 kes baharu Covid-19 di negeri ini pada Selasa.

Ketua Pemuda Perikatan Nasional Negeri Sembilan, Danni Rais berkata, pihaknya sangat terkejut dengan catatan kes baharu sebanyak 1,033 yang merupakan rekod paling tinggi sejak seminggu lalu.

Beliau yang juga Ketua Armada Negeri berkata, kenaikan mendadak ini sangat membimbangkan, memandangkan rakyat sudah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

"Di mana silapnya apabila kes baru naik mendadak melebihi 1,000 kes sehari? Kita merasakan kerajaan negeri seakan gagal dalam menangani pandemik ini di Negeri Sembilan.

"Kerajaan Negeri di bawah pimpinan Pakatan Harapan Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun harus mengambil beberapa langkah drastik bagi memastikan jangkitan Covid-19 ini terkawal di Negeri Sembilan, khususnya demi keselamatan rakyat," katanya kepada Sinar Harian pada Rabu.

Tambahnya, demi kesejahteraan bersama mereka sanggup memberi kerjasama dengan mana-mana agensi kerajaan negeri untuk membantu mencegah jangkitan Covid-19.

"Kita ketepikan fahaman politik, kita bergabung tenaga dan berganding bahu dalam menangani pandemik ini secara bersama.

"Apa yang penting keselamatan rakyat perlu diutamakan, dan segala bentuk bantuan kepada rakyat dapat sampai dengan sempurna," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Selasa, Negeri Sembilan mencatatkan kes baharu sebanyak 1,033 positif Covid-19, dengan jumlah kumulatif sebanyak 54,219 dan 13 kematian telah dilaporkan menjadikan jumlah kematian adalah sebanyak 505 orang.