Gangguan bekalan air, Pas Pahang sumbang 25,000 botol air minuman

Andansura meninjau persiapan menghantar botol air minuman kepada penduduk Keratong dan Bukit Ibam yang berdepan masalah bekalan air sejak Rabu lalu.
Andansura meninjau persiapan menghantar botol air minuman kepada penduduk Keratong dan Bukit Ibam yang berdepan masalah bekalan air sejak Rabu lalu.
A
A
A

KUANTAN - Pas Pahang menghulurkan sumbangan lebih 25,000 botol air minuman kepada warga Keratong dan Bukit Ibam, Rompin yang terkesan dengan gangguan bekalan air sejak Rabu minggu lalu.

Timbalan Pesuruhjaya Pas Pahang, Andansura Rabu berkata, krisis air di kawasan itu berpunca daripada pencemaran sumber air di Sungai Pukin menyebabkan Loji Rawatan Air (LRA) Keratong tidak dapat beroperasi.

Menurutnya, prihatin dengan kesulitan dihadapi penduduk terlibat, barisan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas Pahang sepakat untuk membantu dengan menyalurkan bantuan segera bagi meringankan kesulitan mereka.

"Saya mewakili ADUN Pas Pahang telah membuat pelepasan penghantaran bekalan air minuman ke sana semalam.

"Bekalan air minuman yang dihulurkan itu turut disumbang oleh pertubuhan Beserah Care dan Al-Itqan Care," katanya melalui satu kenyataan pada Rabu.

Andansura yang juga ADUN Beserah berkata, kerja keras pihak Pengurusan Air Pahang Berhad (Paip) dalam mengatasi masalah gangguan bekalan air dikawasan itu amat dihargai.

"Kita harap masalah ini dapat dipulihkan segera agar penduduk dapat menjalani kehidupan seperti biasa," katanya.

Sebelum ini, gangguan bekalan air yang berlaku menjejaskan 11,500 akaun pengguna di sekitar kawasan tersebut.

Artikel Berkaitan:

Masalah itu disebabkan pencemaran sumber air mentah di Sungai Pukin dipercayai berpunca daripada kolam takungan di sebuah kilang memproses sawit di Ulu Keratong yang pecah berikutan hujan lebat.

Ia telah menyebabkan sisa dari kolam takungan mengalir ke sungai berkenaan.

Dalam melaksanakan kerja-kerja permulihan, Paip telah mengambil tindakan segera dengan menyediakan bantuan penghantaran air bersih kepada pengguna secara berperingkat melalui lori tangki dan tangki statik di kawasan terjejas.