Surau agih 250 pek makanan kepada penduduk

Sumbangan makanan diagihkan kepada penduduk di Taman Bukit Katil Damai.
Sumbangan makanan diagihkan kepada penduduk di Taman Bukit Katil Damai.
A
A
A

MELAKA - Jawatankuasa Surau As Sakinah, Taman Bukit Katil Damai di sini yang prihatin dengan nasib penduduk taman berkenaan yang terkesan akibat pandemik Covid-19 mengagihkan sebanyak 250 pek makanan sebagai bantuan.

Pengerusi jawatankuasa surau berkenaan Abu Hassan yang juga penganjur berkata, usaha itu adalah salah satu tanggungjawab komuniti jiran tetangga di taman perumahan itu yang ingin membantu, berkongsi kesusahan emosi dan keperluan hidup sesama mereka.

Menurutnya, dalam keadaan kesukaran akibat pandemik Covid-19, pihak yang mempunyai kelebihan wajib tampil ke hadapan memberikan bantuan kepada mereka yang memerlukan.

"Dengan dibantu Persatuan Penduduk Taman Bukit Katil Damai dan warga penduduk, kami dapat menyalurkan bantuan makanan kepada 250 buah rumah penduduk yang terkesan.

"Segala kos pengagihan ini menerusi dana sumbangan awam yang diterima oleh surau dan juga sumbangan individu," katanya ketika dihubungi di sini pada Rabu.

Turut sama mengagihkan bakul makanan itu ialah Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Keroh serta penduduk taman dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) pencegahan Covid-19 yang ditetapkan.

Mengulas lanjut, menurutnya, ia merupakan siri kedua yang dilaksanakan selepas siri pertama dilakukan pada tahun lalu semasa PKP 1.0 dikuatkuasakan.

"Kepada masyarakat yang terkesan secara langsung mahupun tidak, sebenarnya wujud pihak yang boleh mereka rujuk untuk mendapatkan maklumat dan bantuan jika menghadapi masalah," katanya.

Artikel Berkaitan: