'Kutip sayur keliling rumah, makan apa ada'

Zaitun (tengah) menadah tangan tanda bersyukur apabila menerima bakul makanan yang diberikan Aminuddin (dua dari kanan) dan pasukan Kongsi Rezeki di Kampung Chepor Dalam.
Zaitun (tengah) menadah tangan tanda bersyukur apabila menerima bakul makanan yang diberikan Aminuddin (dua dari kanan) dan pasukan Kongsi Rezeki di Kampung Chepor Dalam.
A
A
A

IPOH - Seorang wanita warga emas terharu menerima bantuan makanan setelah sekian lama menanti sejak negara mula melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 Mac lalu.

Zaitun Samsudin, 73, berkata, keluarganya bergantung kepada hasil tanaman di sekeliling rumah di Kampung Chepor Dalam serta wang pemberian anak-anaknya dalam tempoh empat bulan itu.

Menurutnya, dia yang tinggal bersama suami dan seorang anaknya tidak terlepas daripada menerima kesan akibat pelaksanaan PKP.

"Ini kali pertama dapat, tidak pernah lagi ada orang datang bagi beras, telur, ikan seperti ini. Sebelum ini hanya kutip sayur keliling rumah dan tidak makan mewah.

"Selalu juga tunggu jika ada orang tolong bagi bantuan tetapi tiada. Dengan bantuan ini, boleh dapat menampung kami selepas anak tidak bekerja sebab Covid-19," katanya.

Dia ditemui pada program Kongsi Rezeki anjuran bersama Emas Rozita, Bojen Car Wash, Azno Catering dan Persatuan Muai Thai Ipoh di Kampung Chepor Dalam dan Kampung Sri Klebang di sini pada Selasa.

Hadir sama Ketua UMNO Bahagian Tambun, Datuk Aminuddin Md Hanafiah dan Ahli Majlis Majlis Bandaraya Ipoh, Datuk Azizul Kama Abdul Aziz.

Sementara itu, wakil program Kongsi Rezeki, Mohd Salorwadi Mohd Noor berkata, kisah peniaga menerima pelanggan yang meminta untuk membeli ikan dengan harga RM1 menjadi inspirasi kepada pasukannya menganjurkan program itu dalam membantu masyarakat yang terjejas.

Artikel Berkaitan:

"Pengalaman rakan berhadapan dengan situasi itu benar-benar memberi kesan mendalam atas kesusahan masyarakat dengan situasi semasa.

"Atas rasa keprihatinan, kami bergabung menyediakan 200 bakul makanan melibatkan dana sejumlah RM15,000 untuk mereka yang memerlukan," katanya.

Jelasnya, tumpuan sumbangan tertumpu di kawasan sekitar Ipoh sebelum diperluaskan ke seluruh negeri secara berperingkat.