Ketua pembantu tadbir, Wakil Ketua Anak Negeri ditahan SPRM

SPRM
SPRM
A
A
A

KOTA KINABALU - Seorang ketua pembantu tadbir di sebuah jabatan kerajaan ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sabah bagi membantu siasatan berhubung kes menerima rasuah lebih RM24,000.

Suspek lelaki berusia 52 tahun itu ditahan di pejabat SPRM Cawangan Lahad Datu kira-kira jam 2.30 petang pada Selasa selepas hadir memberi keterangan.

Difahamkan, suspek disyaki menggunakan jawatannya untuk mendapat suapan dengan mengemukakan invois sebuah syarikat yang mana pemilik syarikat tersebut mempunyai kaitan dengannya.

Bagaimanapun, suspek dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM10,000 dan seorang penjamin.

Pengarah SPRM Sabah, S Karunanithy mengesahkan penahanan itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 23 Akta SPRM 2009.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau esok (Khamis)," katanya ketika dihubungi pada Rabu.

Sementara itu, dalam kes berasingan pada hari yang sama, SPRM Sabah turut menahan seorang Wakil Ketua Anak Negeri kerana disyaki memperdayakan seorang wanita dengan memperoleh wang tunai RM1,000.

Difahamkan, suspek lelaki yang berusia 54 tahun itu telah memperdaya wanita terbabit bahawa boleh membantu mengeluarkan sijil daftar lewat kelahiran serta kad pengenalan wanita itu dan adiknya dengan membayar wang tersebut.

Artikel Berkaitan:

Suspek yang juga bekerja sebagai peniaga ditahan kira-kira jam 2 petang di pejabat yang sama selepas hadir memberikan keterangan namun dilepaskan dengan jaminan SPRM sebanyak RM5,000 dan seorang penjamin.

Karunanithy yang turut mengesahkan perkara itu berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 415 Kanun Keseksaan.

"Suspek akan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Khas Rasuah Tawau, esok," katanya.