PPV UCSI sesak disebabkan masalah sistem MySejahtera

Datuk Seri Aminuddin (dua dari kanan) beramah mesra dengsn penerima vaksin di PPV UCSI.
Datuk Seri Aminuddin (dua dari kanan) beramah mesra dengsn penerima vaksin di PPV UCSI.
A
A
A

SEREMBAN - Kesesakan yang berlaku di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Hospital UCSI di Bandar Springhill Port Dickson adalah disebabkan masalah yang berlaku dalam penjadualan sistem MySejahtera.

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun dalam lawatan mengejutnya pada Selasa berkata, pihak pengurusan memaklumkan bahawa terdapat beberapa isu dalam sistem MySejahtera menyebabkan ramai penerima mendapat tarikh yang sama.

"Walaupun begitu PPV UCSI berjaya menyelesaikan isu tersebut kerana bekalan vaksin di Negeri Sembilan mencukupi.

"Saya menasihatkan orang ramai agar menepati masa yang ditetapkan dalam aplikasi MySejahtera. Jangan datang terlalu awal atau lewat bagi mengelakkan kesesakan di PPV," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Selasa.

PPV UCSI mampu memberi suntikan sebanyak 1,500 sehari kepada rakyat yang berada di sekitar Seremban dan Port Dickson.

Sementara itu, dalam lawatan beliau ke PPV Awam Telok Kemang mendapati, situasi di kawasan tersebut lebih teratur, terkawal dan berjalan dengan baik.

"Alhamdulillah kini Negeri Sembilan mampu memberikan sekitar 20,000 dos sehari berikutan penambahan bekalan oleh Pasukan Petugas Imunisasi Covid-19 (CITF).

"Saya yakin sekiranya pemberian vaksin berjalan lancar, imuniti kelompok dapat dicapai mengikut sasaran yang ditetapkan, Insya-ALLAH," katanya.

Artikel Berkaitan:

Pada Isnin, Sinar Harian melaporkan, mengenai kesesakan yang berlaku di PPV Hospital UCSI Bandar Springhill menyebabkan orang ramai terpaksa berpanas dan beratur panjang sehingga ke pekarangan luar hospital.