Tiga beranak tular bermalam dalam kereta terharu terima bantuan

Muhammad Shazwan (dua, kanan) menerima sumbangan daripada Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor sambil disaksikan Kavikumar (kiri).
Muhammad Shazwan (dua, kanan) menerima sumbangan daripada Pengurus Econsave Wilayah Utara, Zamzuri Mansor sambil disaksikan Kavikumar (kiri).
A
A
A

SUNGAI PETANI - Tiga beranak yang tular kerana terpaksa bermalam dalam kereta sebelum ini lega selepas banyak pihak tampil menghulurkan bantuan.

Muhammad Shazwan Ismail, 29, dan isteri, Khairul Amiratissyahirah Hashim, 25, serta bayi perempuan, Nur Iman Safiyya, 15 bulan terpaksa bermalam dalam kereta berikutan tidak mampu menyewa rumah.

Menurut Muhammad Shazwan, tindakan keluar dari rumah keluarga di kampung dekat Padang Serai, Kedah diambil berikutan berdepan masalah keluarga sejak 5 Julai lalu.

"Sejak itu kami terpaksa bermalam dalam kereta di sebuah stesen minyak dekat Bandar Laguna Merbok sehingga dibantu orang ramai," katanya selepas menerima sumbangan barangan keperluan harian dan peralatan elektrik bernilai RM1,000 daripada Econsave Cash & Carry Bandar Puteri Jaya (BPJ) di Taman Ria, Sungai Petani pada Selasa.

Muhammad Shazwan turut merakamkan penghargaan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin termasuk pemilik rumah sewa di Taman Ria yang memberi kebenaran mereka menetap secara percuma sehingga Oktober.

"Memang malu mandi di stesen minyak dan duduk dalam kereta selama beberapa hari tetapi kami tidak mampu menyewa rumah," katanya.

Sebelum itu, dia pernah berfikir untuk mencagarkan Proton Wira yang menjadi tempat mereka berteduh bagi mendapatkan sebuah rumah sewa namun selepas tular di Facebook banyak pihak bersimpati dan membantu.

Sementara itu, Pengurus Econsave BPJ, M Kavikumar berkata, kisah keluarga itu mendapat simpati pihak syarikat yang menyampaikan sumbangan bagi keperluan tiga beranak tersebut.

Artikel Berkaitan:

Syarikat berkenaan turut menawarkan pekerjaan untuk pasangan itu bagi meningkatkan taraf hidup mereka.

Sebelum ini, tular di media sosial kisah tiga beranak termasuk bayi berusia 15 bulan terpaksa bermalam dalam kereta berikutan tidak mampu menyewa rumah.

Difahamkan, kakitangan Jabatan Kebajikan Masyarakat Daerah Kuala Muda juga telah melakukan kunjungan bagi mengenal pasti situasi sebenar keluarga berkenaan.