Elak mentaliti atlet rapuh

Farah Ann Abdul Hadi antara atlet yang mengalas cabaran negara di Tokyo 2020 kali ini. Gambar kecil: Prof Dr Salleh
- Foto AFP
Farah Ann Abdul Hadi antara atlet yang mengalas cabaran negara di Tokyo 2020 kali ini. Gambar kecil: Prof Dr Salleh - Foto AFP
A
A
A

PERSATUAN Sukan Kebangsaan (NSA) perlu mempersiapkan atlet masing-masing dengan semangat kekitaan dan keutuhan minda yang luar biasa menjelang Sukan Olimpik Tokyo 2020 yang bakal bermula 23 Julai ini.

Pakar Psikologi Universiti Malaysia Perlis (UniMAP), Profesor Dr Salleh Abd Rashid berkata, NSA perlu bertindak lebih proaktif bagi memastikan atlet negara berada pada tahap terbaik di sebalik krisis Covid-19 yang melanda dunia sejak tahun lalu.

“Covid-19 sememangnya telah memberi kesan besar kepada perkembangan potensi atlet negara biarpun Kementerian Belia dan Sukan serta Majlis Olimpik Malaysia (MOM) melakukan persiapan rapi menerusi inisiatif Road To Tokyo (RTT) 2020.

“Selain daripada kekurangan masa dan tempat untuk menggilap bakat dan potensi, ketiadaan pertandingan dan paling ketara pengasingan diri daripada ahli komuniti sukan yang lain meningkatkan depresi dalam kalangan atlet.

“Ia secara tidak langsung memberikan impak negatif kepada psikologi sosial mereka terutamanya yang membuat penampilan pertama pada Sukan Olimpik,” katanya kepada Sukan Sinar baru-baru ini.

Beliau berkata, NSA juga perlu memastikan interaksi secara berterusan dengan atlet masing-masing dalam memastikan mereka mendapatkan sumber maklumat yang sahih dari dalam mahupun luar negara sepanjang mengalas cabaran di Tokyo nanti.

“Komunikasi dan hubungan secara virtual perlu diteruskan dengan mengambil tahu kebajikan setiap atlet yang bertanding dan penyaluran berita perlu sahih dan tepat bagi menjamin kestabilan psikologi mereka,” ujarnya.

Pada masa sama, beliau berkata, aspek keselamatan dan kebajikan atlet juga harus diberi keutamaan bagi memastikan semangat serta motivasi mereka berada pada tahap terbaik untuk memburu pingat buat kontinjen Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Gangguan psikologi boleh mengakibatkan daya tahan diri, keselamatan, kesihatan serta daya juang merosot. Bagi atlet yang biasa menyertai pertandingan di luar negara dalam krisis sebegini, mereka berkemungkinan tidak berdepan masalah besar.

“Namun, bagi atlet yang kurang pendedahan pertandingan atau latihan luar di luar negara, inilah yang NSA perlu beri perhatian dalam menangani norma baharu seterusnya melonjakkan semangat atlet untuk memberi prestasi terbaik,” jelasnya.