Ahli keluarga etnik Uighur di AS mula bersuara

Abudwaris Ablimit menunjukkan gambar abangnya ketika satu pertemuan di Washington bagi meningkatkan kesedaran tentang kehilangan ahli keluarga etnik Uighur di Xinjiang.- Foto AP
Abudwaris Ablimit menunjukkan gambar abangnya ketika satu pertemuan di Washington bagi meningkatkan kesedaran tentang kehilangan ahli keluarga etnik Uighur di Xinjiang.- Foto AP
A
A
A

WASHINGTON - AMERIKA SYARIKAT. Setelah hampir dua tahun sejak kerajaan China menahan kira-kira sejuta etnik minoriti Uighur di sekitar Xinjiang, sebahagian besar ahli keluarga mereka yang berada di luar negara kini bersuara menuntut kepulangan mereka.

Pada Ahad lalu, berpuluh ahli keluarga etnik Uighur, Kazakh dan beberapa etnik lain yang ditahan tanpa sebarang alasan munasabah di kem tahanan di wilayah Xinjiang, mengadakan pertemuan di Washington dengan harapan dapat meningkatkan kesedaran terhadap jenayah kemanusiaan yang sedang berlaku di China ketika ini.

"Jika anda mengenali sesiapa yang didapati hilang, inilah masanya untuk bersuara," kata Ferkat Jawdat, seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang bertindak selaku penganjur bersama pertemuan yang diadakan di bilik bawah tanah sebuah perpustakaan awam itu.

Dalam pertemuan berkenaan, Jawdat yang turut terputus hubungan dengan ibunya berusia 52 tahun yang menetap di Xinjiang, menggesa ahli keluarga etnik Uighur di AS agar mengumpul maklumat berkaitan ahli keluarga yang telah terputus hubungan.

Ia bagi membolehkan maklumat tersebut disampaikan kepada Kumpulan Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Kehilangan secara Paksa dan Jabatan Negara AS untuk tindakan selanjutnya.

Dalam pada itu, sebahagian besar peserta yang hadir ke pertemuan itu mengesahkan ahli keluarga mereka menjadi tahanan di kem sekitar Xinjiang, manakala yang lain terputus hubungan secara total dan dikhuatiri telah meninggal dunia.

Poster menunjukkan ahli keluarga yang hilang. - Foto AP
Poster menunjukkan ahli keluarga yang hilang. - Foto AP

"Kami mahu meningkatkan kesedaran tentang apa yang boleh berlaku kepada keluarga Amerika, ramai yang hadir adalah warga AS," kata Jawdat sambil menambah pertemuan sama turut diadakan serentak di lapan negara lain termasuk Turki, Perancis, Jerman, Australia dan Kanada.

Artikel Berkaitan:

Abduwaris Ablimit, seorang chef dari Boston pula berkata, pada awalnya dia takut untuk bersuara tentang 'kehilangan' ahli keluarganya kerana bimbang tindakan balas kerajaan China.

Menurut Ablimit, kali terakhir dia mendengar suara ibu bapanya adalah menerusi mesej suara di aplikasi WeChat yang dihantar pada bulan Julai 2017.

Sejak itu, Ablimit berasa bimbang ibu bapa dan abangnya, seorang penyanyi pop terkenal Uighur, Zahirshah Ablimit telah ditahan di kem tahanan.

Disember tahun lalu, kebimbangan Ablimit menjadi kenyataan apabila Radio Free Asia (RFA) melaporkan seorang pegawai polis di kampungnya mengaku terlibat dalam penahanan ibu bapa serta abangnya.

Selepas hampir setahun gagal menghubungi ahli keluarganya, Ablimit mula bercakap kepada media dan konsulat AS di Beijing dan juga Shanghai.

Dalam pada itu, Ablimit turut menerima ancaman daripada individu yang mendakwa dirinya adalah pegawai polis China, Ablimit digesa untuk berdiam diri berhubung kes keluarganya.

“Saya tidak lagi berasa takut, saya hanya mahu mencari kebenaran," kata Ablimit yang hadir ke pertemuan khas di Washington itu.

Terdahulu, pihak berkuasa China mendakwa kewujudan 'kem pendidikan semula' atau 'kem vokasional' di Xinjiang adalah bertujuan untuk membantu golongan yang terdedah kepada aktiviti ekstremisme agar mereka mendapatkan kemahiran bekerja.

Namun, bekas penghuni kem berkata mereka ditahan dalam kem yang kotor, sempit dan dipaksa meninggalkan agama dan menyatakan sumpah setia hanya kepada kerajaan komunis China.

Penghuni kem turut tertakluk kepada indoktrinasi politik dan penyeksaan psikologi, tanpa sebarang hak mendapatkan bantuan undang-undang.

Selain Turki yang berkongsi ikatan budaya, agama dan linguistik bersama etnik minoriti Islam Uighur, kebanyakan negara Islam yang lain hanya berdiam diri berhubung kewujudan kem tahanan di Xinjiang, keadaan itu mungkin disebabkan kebergantungan ekonomi yang kuat terhadap China. - AP