Rahsia sulit AS mungkin terbongkar

Jabatan Keadilan Amerika Syarikat bimbang dokomen-dokumen rahsia negara itu akan terdedah berikutan saman yang dikemukakan ke atas Saad Aljabri. - Foto AFP
Jabatan Keadilan Amerika Syarikat bimbang dokomen-dokumen rahsia negara itu akan terdedah berikutan saman yang dikemukakan ke atas Saad Aljabri. - Foto AFP
A
A
A

DUA tuntutan undang-undang yang difailkan oleh syarikat-syarikat milik kerajaan Arab Saudi terhadap bekas ketua perisikan negara itu, Saad Aljabri dianggap boleh mencetuskan ancaman bahaya kepada keselamatan Amerika Syarikat (AS).

Ancaman bahaya itu yang mungkin timbul berikutan saman tersebut ialah risiko dokumen-dokumen rahsia dan amat sensitif milik AS akan terdedah kepada umum menyebabkan Washington menimbang kemungkinan untuk masuk campur dalam kes tersebut.

Dua kes itu masing-masing di mahkamah Kanada dan AS merupakan tuduhan penipuan dan penyelewengan wang yang dikemukakan oleh syarikat milik kerajaan Arab Saudi terhadap AlJabri yang pernah bekerja dengan para pegawai AS dalam operasi bagi memerangi keganasan.

Aljabri pula ialah pembantu kanan kepada Putera Mohammed bin Nayef atau terkenal dengan nama singkatan MBN yang sebelum ini merupakan Putera Mahkota Arab Saudi tetapi tidak lagi memegang jawatan itu pada tahun 2017.

Tempat MBN telah digantikkan dengan Putera Mohammed bin Salman atau lebih dikenali dengan nama singkatan MBS oleh ayahandanya iaitu Raja Arab Saudi, Raja Salman bin Abdulaziz.

Raja Salman menaiki takhta sebagai pemerintah negara tersebut bagi menggantikan kekandanya, Almarhum Raja Abdullah bin Abdulaziz pada tahun 2015.

Justeru, menurut AFP, kes-kes rasuah itu juga dianggap sebagai perbalahan baharu yang berlaku antara MBS dengan Aljabri.

Artikel Berkaitan:

Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (kiri) dan bekas ketua perisikan negara itu, Saad Aljabri. - Foto AFP
Putera Mahkota Arab Saudi, Putera Mohammed bin Salman (kiri) dan bekas ketua perisikan negara itu, Saad Aljabri. - Foto AFP

Aljabri yang kini tinggal di Kanada tetapi pada 30 Januari lalu, sebanyak 10 buah anak syarikat Tahakom Investment Co, yang dimiliki oleh Dana Pelaburan Awam Arab Saudi memfailkan tuntutan undang-undang di sebuah mahkamah di Ontario, Kanada.

Tuntutan saman itu mendakawa AlJabri melakukan penipuan secara besar-besaran yang melibatkan berbilion-bilion dolar.

Mahkamah di Ontario itu juga mengarahkan aset-aset Aljabri dibekukan.

Pada tahun lalu, Aljabri mendakwa dalam satu tuntutan undang-undang bahawa MBS menghantar 'Skuad Harimau' iaitu sebuah kumpulan pembunuh untuk membunuhnya di Kanada manakala dua anaknya telah ditahan bagi mendesaknya supaya kembali ke tanah air.

Beliau juga terlibat dalam satu tuduhan penyelewengan apabila Syarikat Sakab Saudi Holding milik kerajaan Arab Saudi mendakwanya menyalahgunakan wang sebanyak AS$3.47 bilion (RM14.55 bilion) ketika Aljabri bekerja dengan Kementerian Dalam Negeri di bawah pemerintahan MBN.

Syarikat itu mendesak supaya sebuah mahkamah di Massachusetts, AS membekukan aset-aset hartanahnya yang bernilai AS$29 juta (RM121.57 juta) di negeri Boston.

Justeru, Jabatan Keadilan AS telah memfailkan makluman kepada sebuah mahkamah di Massachusetts pada April lalu dengan mendakwa niat Aljabri yang mahu memberikan maklumat tentang aktiviti-aktiviti keselamatan Amerika.

Dalam pemfailan kedua yang dilakukan sebulan kemudian, Jabatan Keadilan itu meminta mahkamah memberikan lebih banyak masa kerana masalah berkaitan keselamatan negara memerlukan pertimbangan yang kompleks daripada pegawai-pegawai kanan.

Ia turut menyatakan bahawa kerajaan bersedia untuk memberikan maklumat lebih lanjut kepada mahkamah secara rahsia.

Pasukan pembelaan Aljabri menafikan semua kesalahan kewangan yang dilakukan oleh bekas ketua perisikan Arab Saudi itu dengan menyatakan beliau terperangkap dalam permusuhan antara MBS dan MBN.

Syarikat Sakab Saudi Holding itu ditubuhkan pada tahun 2008 oleh MBN dan merupakan sebahagian daripada rangkaian syarikat bagi melindungi operasi keselamatan yang dilakukan negara tersebut dengan AS.

Bagi membuktikan Aljabri tidak bersalah, pihak mahkamah perlu menyiasat kewangan Syarikat Sakab itu termasuk bagaimana mereka membiayai program-program sensitif yang dilakukan dengan kerjasama Agensi Perisikan Pusat (CIA), Agensi Keselamatan Kebangsaan AS dan Jabatan Pertahanan AS.

Menurut satu sumber yang rapat dengan bekas ketua perisikan Arab Saudi itu, Aljabri tidak pernah mendedahkan projek-projek memerangi keganasan yang telah menyelamatkan ribuan nyawa termasuk penduduk Amerika.

Pihak CIA, Jabatan Keadilan AS dan peguam MBS enggan memberikan komen berhubung kes itu kepada AFP.

Setakat ini masih tidak jelas sama ada pihak berkuasa AS akan melakukan perkara yang sama di mahkamah Ontario.

Sementara itu, dalam satu kenyataan kepada AFP, seorang pegawai Arab Saudi berkata, tuntutan undang-undang itu hanya melibatkan antara pihak-pihak yang berbalah itu dan kerajaan negara beraja tersebut tidak terlibat secara langsung dengan perbalahan tersebut. - Agensi