X

Kindly register in order to view this article
!

Rabu | 18 Mei 2022

Kes edar dadah: Lelaki Yaman terlepas tali gantung

Tali gantung - Gambar hiasan
A
A

PUTRAJAYA - Seorang lelaki warga Yemen pada Selasa terlepas daripada tali gantung kerana mengedar 1.8 kilogram metamfetamin apabila Mahkamah Persekutuan membenarkan rayuannya untuk mengetepikan keputusan Mahkamah Rayuan agar kes itu dibicarakan semula.

Perkara itu dimaklumkan kepada pemberita melalui aplikasi WhatsApp oleh peguam Rahmat Hazlan yang mewakili Yahya Hussein Mohsen Abdulrab, 31.

Rahmat berkata, panel tiga anggota yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat itu sebulat suara bersetuju dengan Mahkamah Rayuan bahawa peguam sebelum ini “adalah terlampau tidak kompeten.”

“Bagaimanapun, Mahkamah Persekutuan berpendapat Mahkamah Rayuan terkhilaf apabila memerintahkan kes itu dibicarakan semula dan bukannya tertuduh dibebaskan. Selepas mendapati perayu (Yahya Husein) dinafikan haknya untuk mendapat perbicaraan yang adil secara konstitusional, perintah yang tepat ialah dia sepatutnya dibebaskan.

“Penafian hak sedemikian dengan sendirinya sudah mewajarkan pembebasan tertuduh. Berdasarkan merit kes ini, Mahkamah Persekutuan memutuskan bahawa bukti tambahan juga menunjukkan terdapat keraguan yang munasabah dalam kes pendakwaan," kata peguam itu sambil menambah mahkamah kemudian memerintahkan agar perayu dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan.

Turut bersidang Hakim-Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Seri Mohd Zawawi Salleh and Datuk Nallini Pathmanathan.

Rahmat juga berkata, perayu telah berada dalam tahanan lebih lapan tahun dan mahkamah berpendapat bahawa adalah tidak adil untuk memerintahkan kes itu dibicarakan semula kerana ini akan menyebabkan Yahya Hussein terpaksa meringkuk lebih lama di dalam penjara.

Pada 2014, Yahya Hussein dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi selepas dia didapati bersalah mengedar 1.8 kilogram metamfetamin di Balai Ketibaan Lapangan Terbang Tawau pada kira-kira 11 pagi 25 Julai 2013 mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati mandatori.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengenepikan hukuman itu dan memerintahkan kes tersebut dibicarakan semula selepas memutuskan Yahya Hussein telah dinafikan haknya untuk mendapat perbicaraan secara adil akibat ‘ketidakcekapan peguam’ yang mewakilinya.

Yahya Hussein kemudian merayu kepada Mahkamah Persekutuan bagi mendapatkan perintah agar dia dilepas dan dibebaskan.

Yahya Hussein turut diwakili peguam, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dan Wan Aizuddin Wan Mohammed manakala pendakwaan dilakukan Timbalan Pendakwa Raya, Hanim Mohd Rashid. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!