X

Kindly register in order to view this article
!

Polis rampas syabu bernilai RM20,000

Lokasi serbuan di mana dua suspek ditahan dan syabu dirampas.
A
A

LAHAD DATU - Polis daerah ini merampas syabu bernilai lebih RM20,000 dalam satu serbuan di rumah pekerja ladang Jalan Lahad Datu-Sandakan pada Isnin.

Turut ditahan dalam serbuan kira-kira jam 5.30 petang itu dua individu warga Indonesia yang tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, dua suspek lelaki dan wanita itu berada di ruang tamu dan pemeriksaan lanjut di dalam rumah menemui satu beg bimbit mengandungi empat paket plastik lut sinar disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 200.56 gram yang bernilai RM20,056.

"Syabu itu dipercayai mampu menampung sehingga 26,000 penagih dadah di kawasan ladang berhampiran Lahad Datu dan Kinabatangan," katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Tambah beliau, ujian saringan air kencing terhadap kedua-dua suspek negatif dadah.

"Suspek lelaki yang bekerja sebagai mandur manakala suspek wanita sebagai pekerja ladang itu ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan dan Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.

"Turut disita dalam serbuan itu termasuk sebuah Toyota Hilux dan motosikal dengan jumlah keseluruhan termasuk dadah RM131,056," katanya.

Sementara itu, Rohan turut memaklumkan hasil daripada beberapa siri serbuan di daerah ini berjaya merampas sebanyak 1.3 kilogram dadah dengan anggaran nilai RM135, 206 sejak awal Januari lalu.

"Dalam tempoh itu, seramai 153 individu turut ditahan mengikut pelbagai kesalahan termasuk Seksyen 39B, Seksyen 39A(2), Seksyen 39A(1) dan Seksyen 12(2) Akta Dadah Berbahaya1952.

"Melalui tempoh kajian Januari hingga Jun tahun ini, seramai 125 individu membabitkan 83 orang lelaki tempatan dan 42 lagi bukan warga tempatan tanpa dokumen perjalanan yang sah telah berjaya ditahan dan diambil tindakan di bawah Seksyen 15(1)(a) akta yang sama," katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!