Lima beranak berhimpit dalam kabin pindah ke rumah selesa

Kabin kecil yang dibinanya menjadi kediaman buat mereka lima sekeluarga.
Kabin kecil yang dibinanya menjadi kediaman buat mereka lima sekeluarga.
A
A
A

BAGAN SERAI - Nasib lima beranak terpaksa berteduh di dalam sebuah kabin kecil akhirnya terbela apabila mereka kini tinggal sebuah rumah sewa yang dibiayai sepenuhnya Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).

Shahrunizam Jamhari, 49, bersama isteri dan tiga anak dapat menjalani kehidupan selesa selepas kediaman mereka musnah dalam kebakaran di Kubu Gajah, Gunung Semanggol di sini pada 24 Julai tahun lalu.

MAIPk dalam satu kenyataan memaklumkan keluarga tersebut telah berpindah ke rumah sewa pada Isnin selepas lebih seminggu tinggal di kabin berkenaan.

Katanya, siasatan mendapati, Shahrunizam merupakan penerima bantuan bina rumah jenis B daripada MAIPk pada 2015 lalu.

"Pada 25 September 2020, dia telah hadir ke pejabat MAIPk Bagan Serai untuk membuat permohonan semula bantuan bina rumah disebabkan oleh rumah bantuan yang diterima sebelum ini telah musnah akibat kebakaran pada 24 Julai 2020.

"Pihak MAIPk Bagan Serai telah menjalankan siasatan pada 27 Oktober 2020, namun keluarga berkenaan gagal dihubungi dan berlarutan pada April lalu," katanya di sini pada Selasa.

Menurut MAIPk, permohonan Shahrunizam kini masih menunggu pertimbangan oleh pihak mesyuarat tertinggi MAIPk.

ARTIKEL BERKAITAN: Lima beranak berhimpit dalam kabin

Artikel Berkaitan: