Negara letak harapan tinggi terhadap kontinjen Olimpik, Paralimpik Tokyo


Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

MALAYSIA meletakkan harapan tinggi terhadap kontinjen negara ke Sukan Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 untuk melakar kejayaan dan menyaksikan Jalur Gemilang berkibar megah serta Negaraku bergema di Negara Matahari Terbit.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, harapan kerajaan dan seluruh rakyat adalah untuk melihat atlet negara mencipta kejayaan pada temasya gemilang dunia itu, dan membawa pulang pingat emas pertama yang dinanti-nantikan.

“Kita mempunyai harapan amat tinggi kepada atlet kita di Tokyo, Insya-ALLAH. Saya mengharapkan doa daripada seluruh rakyat Malaysia mengiringi kontinjen kita supaya mereka mencapai kejayaan. Saya mempunyai harapan yang tinggi (untuk emas pertama), walaupun saya tidak melihat secara langsung persiapan mereka.

“Kita di pihak kerajaan cuba memberikan ruang yang terbaik untuk mereka meneruskan latihan, walaupun dalam era pandemik Covid-19. Kita benarkan mereka adakan latihan secara kuarantin dengan prosedur operasi standard (SOP) ketat,” katanya pada sidang akhbar pada Selasa.

Beliau sebelum itu mewakili Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada Majlis Amanat Perdana kepada Kontinjen Olimpik dan Paralimpik Tokyo 2020 yang diadakan secara maya pada Selasa.

Ismail Sabri turut menyerahkan Jalur Gemilang kepada kontinjen negara, yang diterima oleh Presiden Majlis Olimpik Malaysia, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria dan Presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin.

Sukan Olimpik akan berlangsung mulai 23 Julai hingga 8 Ogos, manakala Paralimpik dijadualkan bermula 24 Ogos hingga 5 Sept.

Ismail Sabri berkata, tempoh kuarantin bagi kontinjen negara yang pulang dari temasya itu akan ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan dibincangkan dalam Sidang Khas dan Mesyuarat Teknikal Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Artikel Berkaitan:

“Untuk sambutan saya rasa setakat hari ini kita masih tidak boleh berkumpul, malah kalau boleh hari ini kita hendak berkumpul, kerana amanat bersemuka lagi baik. Kita ada masa beberapa minggu lagi, mungkin keadaan berubah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya juga akan berbincang dengan KKM, bagi memastikan tiada atlet negara dijangkiti wabak koronavirus, serta langkah dan tindakan sewajarnya jika dijangkiti semasa menyertai temasya itu.

Ismail Sabri yang pernah menjadi Menteri Belia dan Sukan dan menerajui ‘Olympic Steering Committee 2008’, menegaskan sukan sentiasa menyatupadukan rakyat dan menjadi instrumen perpaduan kaum melangkaui agama, bangsa dan fahaman politik.

Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican berkata, sasaran pingat bagi kontinjen negara, akan diumumkan pada Jumaat.

Majlis pada Selasa menyaksikan bacaan ikrar kontinjen negara diketuai oleh ratu terjun Pandelela Rinong.

Seramai 30 atlet negara bakal beraksi di Sukan Olimpik, manakala 31 atlet dijangka layak ke Paralimpik. - Bernama