Petani disaran guna air secara berhemah

No Image Caption
A
A
A
IPOH – Sektor pertanian dan perladangan di negeri ini masih dalam keadaan terkawal di sebalik cuaca panas yang melanda seluruh negara pada ketika ini.

Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (PP) Negeri Perak Mohd Fauzan Badron berkata, kebanyakan kawasan pertanian serta perladangan dilihat menerima pengairan yang baik terutamanya bagi tanaman padi dalam jelapang yang dikawal sistem pengairan.

“Memang saya tengok di Ipoh sampai di Kinta Selatan cuaca agak panas dan kita dinasihati supaya tidak berjemur di panas terik.

“Bagaimanapun, kita tengok dalam sektor pertanian masih terkawal. Walaupun cuaca panas kadang-kadang petang hujan,” katanya.

Mohd Fauzan berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Kecemerlangan Anggota LPP Negeri Perak di Hotel M Roof, semalam.

Hadir sama, Exco Kemudahan Awam dan Infrastruktur, Pertanian dan Perladangan Negeri Perak, Abdul Yunus Jamahri yang sekali gus menyempurnakan penyampaian anugerah kecemerlangan pada majlis berkenaan melibatkan insentif kepada atlet-atlet kontinjen LPP yang muncul juara keseluruhan sempena Sukan Dwi Tahunan LPP, baru-baru ini.

Abdul Yunus turut menyampaikan cenderahati kepada pesara-pesara LPP termasuk kakitangan LPP yang bertukar.

Sementara itu Abdul Yunus berkata, pihaknya akan sentiasa mendapatkan maklumat semasa daripada agensi-agensi berkaitan berhubung keadaan cuaca panas terik pada ketika ini.

Katanya, menerusi maklumat berkenaan tindakan akan dapat diselaraskan bagi menangani pelbagai isu termasuk isu cuaca panas sedemikian.
Artikel Berkaitan:


“Setakat ini, kita masih belum menerima apa-apa aduan yang serius. Bagaimanapun, kita harap semua semua petani khususnya di kawasan jelapang padi di kerian dan Seberang Perak, berjimat cermatlah dalam soal pengairan.

“Selain itu bekerjasamalah dengan petani-petani lain agar menggunakan air dengan cara yang paling berhemah.

“Selain itu kita juga akan mengambil langkah berjaga-jaga demi mengelakkan berlakukan masalah pengairan kepada petani,” katanya.