Selesaikan masalah kekurangan vaksin dengan segera

Maximus menyempurnakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Siri Kedua ke kawasan perbukitan Magandai, di Kota Marudu.
Maximus menyempurnakan Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Siri Kedua ke kawasan perbukitan Magandai, di Kota Marudu.
A
A
A

KOTA MARUDU - Masalah kekurangan vaksin Covid-19 di Sabah dan Sarawak perlu diatasi segera bagi mengelakkan janji temu penduduk kampung ditunda pada saat akhir.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Seri Dr Maximus Ongkili juga bimbang apabila kawasannya turut terjejas berikutan bekalan vaksin yang tidak mencukupi

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kota Marudu mendakwa ada bakal penerima vaksin telah sampai ke Pusat Pemberian Vaksinasi (PPV) namun diberitahu janji temu mereka ditunda.

"Perkara ini tidak seharusnya terjadi terutama bagi masyarakat yang tinggal di kawasan pedalaman. Kita khuatir mereka akan hilang keyakinan dan tidak mahu menerima vaksin pada janji temu akan datang," katanya selepas menyempurnakan majlis pelepasan (flag off) Program Outreach Vaksinasi Covid-19 Siri Kedua ke kawasan perbukitan Magandai pada Selasa.

Maximus turut mendedahkan masalah kekurangan bekalan vaksin itu turut berlaku di daerah lain termasuk di Sarawak.

"Saya telah maklumkan perkara ini kepada Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba supaya dapat diselesaikan dengan segera.

Beliau bagaimanapun berkata, kerajaan telah melakukan yang terbaik dalam usaha memberikan vaksin menerusi Program imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

"Melalui usaha seperti program outreach vaksinasi Covid-19 ini, kita yakin dapat mempercepatkan lagi pemberian vaksin kepada seluruh rakyat termasuk di kawasan pendalaman terutama penduduk yang tidak dapat ke kawasan bandar untuk menerima suntikan vaksin mereka.

Artikel Berkaitan:

“Buktinya, Malaysia berjaya mencapai kadar vaksinasi Covid-19 melebihi 300,000 dos sehari. Saya percaya Sabah dan Sarawak juga mampu mencapai angka harian seperti ini sekiranya tidak ada masalah lain seperti kekurangan bekalan vaksin," katanya.