Tingkat kawalan kekang penyeludupan lembu

A
A
A

ALOR SETAR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) Kedah akan meningkatkan kawalan di sempadan Malaysia-Thailand di Kedah bagi mengekang aktiviti penyeludupan lembu dari negara jiran khususnya menjelang Hari Raya Aidiladha.

Ketua Polis Kedah, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, pihaknya akan mengetatkan kawalan untuk memastikan tiada sindiket membawa kemasukan lembu dari negara jiran.

Kata beliau, pihaknya akan meneliti semula tentang penugasan di kawasan berkenaan dan membuat kawalan lebih ketat bagi memastikan kes itu tidak berlaku terutamanya melalui laluan tikus.

"Kita akan ketatkan dan mungkin saya akan semak tentang penugasan di sana, kita akan ketatkan kawalan terutamanya laluan tikus yang agak banyak di kawasan tersebut.

"Ada laluan berpagar yang dipotong dan sebagainya, mungkin walaupun telah dibetulkan semula tetapi mereka akan mengambil peluang terutamanya menunggu ketika musim hari raya korban," katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Bantuan Covid-19 MADACorp di Ibu Pejabat MADACorp di Menara Peladang di sini pada Selasa.

Ketika diminta mengulas mengenai isu sempadan seperti migran dan ketum, Kamarul Zaman memaklumkan pihaknya akan terus memberi tumpuan kepada penyeludupan di kawasan sempadan walaupun telah ada operasi seperti Ops Benteng.

Menurut beliau, pada masa terdekat, pihaknya merancang akan mengetatkan kawalan di sebelah Bukit Kayu Hitam antara sempadan Kedah dan Perlis lebih kurang 7.8 kilometer (km).

Tambah beliau, pihaknya juga turut yakin dengan tahap kesiagaan polis marin dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) menjaga perairan dari pembolosan susulan kejayaan rampasan beberapa kes termasuklah ketum.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan lain berkaitan kes penahanan geng kongsi gelap di Kulim pada Jun lepas, Kamarul Zaman berkata, pihaknya memang ada mengambil tindakan termasuklah di bawah akta pertubuhan.

"Ia susulan kumpulan dipercayai menggunakan lambang-lambang yang diharamkan dalam akta pertubuhan serta berkaitan dengan gangsterisme berdasarkan maklumat dan siasatan polis,"katanya.

Menurutnya, geng terbabit terlibat dalam jenayah kekerasan, malah mereka didapati menggunakan media sosial untuk mempromosikan kesalahan tersebut.