Kejora sumbang RM500,000 untuk tabung bencana Johor

Che Zakaria menyampaikan sumbangan kepada penerima secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 1, Pasir Gudang pada Selasa.
Che Zakaria menyampaikan sumbangan kepada penerima secara pandu lalu di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 1, Pasir Gudang pada Selasa.
A
A
A

PASIR GUDANG - Lembaga Kemajuan Johor Tenggara (Kejora) akan menyumbangkan RM500,000 untuk Tabung Bencana Negeri Johor bertujuan membantu mereka yang terkesan dengan pandemik Covid-19.

Pengerusi Kejora, Datuk Che Zakaria Mohd Salleh berkata, perkara tersebut sudah dipersetujui Ahli Lembaga Kejora dan akan diserahkan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Ir Hasni Mohammad dalam masa terdekat.

"Sumbangan ini diambil khusus daripada Tabung Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) Pengerusi Kejora yang akan disalurkan kepada mereka yang memerlukan bukan sahaja dalam kawasan Kejora tetapi seluruh Johor.

"Sumbangan ini juga untuk membantu kerajaan negeri menangani pandemik Covid-19," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan barang keperluan asas dan wang tunai kepada 40 keluarga B40 di Sekolah Kebangsaan (SK) Permas Jaya 1 di sini pada Selasa.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas turut melawat laluan pejalan kaki dan kawasan parkir di SK itu yang rosak selepas bahagian bumbungnya diterbangkan ribut baru-baru ini.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihak Kejora akan menyumbang dana untuk pembinaan sebuah masjid baharu di Bandar Penawar, Kota Tinggi yang dijadualkan mula dibina selepas kos pembinaan berjumlah RM9 juta mencukupi.

Katanya, setakat ini RM3 juta sudah disumbangkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada tahun lalu dan beberapa pihak akan turut memberikan sumbangan dalam masa terdekat.

"Kita rancang membina masjid ini pada tahun ini. Ini masjid kedua di Bandar Penawar yang boleh menempatkan 2,000 jemaah. Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan untuk menamakan masjid ini sebagai Masjid Sultan Ismail.

Artikel Berkaitan:

"Ini bersempena dengan nenda Sultan Ibrahim iaitu Sultan Ismail yang merasmikan pembukaan Bandar Penawar. Masjid ini nanti apabila siap akan menjadi masjid utama di Bandar Penawar," katanya.

Justeru beliau meminta Pejabat Tanah Daerah Kota Tinggi mempercepatkan status pertukaran hak milik tanah untuk tapak masjid tersebut daripada pemaju kepada pejabat agama daerah itu supaya pembinaannya dapat dimulakan tahun ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya akan membaiki bahagian bumbung di kawasan pejalan kaki di sekolah tersebut secepat mungkin untuk keselesaan dan keselamatan 816 muridnya apabila sekolah dibuka nanti.

Selain itu, pihaknya juga bersetuju untuk membesarkan surau sekolah berkenaan kerana terlalu kecil dan tambahan pula SK itu sering digunakan untuk Pusat Penempatan Sementara (PPS) setiap kali banjir di daerah ini.