X

Kindly register in order to view this article
!

Makmur Gold nafi terbabit skim pelaburan emas

Mohd Faizuddin (kiri) menunjukkan laporan polis yang dibuat pihaknya ketika sidang akhbar di Wisma Makmur Gold, Kuantan pada Selasa.
A
A

KUANTAN - Syarikat perniagaan berasaskan emas, Makmur Gold menafikan mereka terbabit dalam penawaran skim pelaburan emas yang diperkenalkan sebuah syarikat lain di Temerloh.

Syarikat tersebut dikatakan aktif mencari pelabur sejak tujuh bulan lalu dengan menawarkan skim pelaburan bermula RM700 dan menjanjikan pulangan lumayan dalam tempoh singkat.

Ketua Pegawai Eksekutif Makmur Gold, Mohd Faizuddin Che Mahmood berkata, perkara itu diketahuinya sejak beberapa minggu lalu selepas dimaklumkan pelanggan.

"Saya terkejut apabila dimaklumkan mengenai perkara ini. Ini tindakan tidak bertanggungjawab dan sengaja memberi imej buruk kepada Makmur Gold sebagai jenama yang dipercayai dalam urusan jual beli emas terkenal di negara ini.

“Peguam kita sedang membuat semakan dan kita tidak teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pemilik syarikat terbabit,’’ katanya pada sidang akhbar di Wisma Makmur Gold di sini pada Selasa.

Mohd Faizuddin sehubungan itu menasihatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati.

Beliau juga meminta orang ramai menyemak dengan syarikatnya terlebih dahulu sekiranya mendapat tawaran skim pelaburan menggunakan nama Makmur Gold.

"Satu laporan polis berhubung perkara ini juga sudah dibuat di Balai Polis Kuantan pada Ahad. Kita harap perkara ini dapat diselesaikan secepat mungkin.

"Kita mahu membersihkan nama dan imej Makmur Gold yang terkesan akibat tindakan syarikat berkenaan," ujarnya.

Mohd Faizuddin juga minta kerjasama semua pelanggan Makmur Gold untuk berurusan dengan wakil mereka yang sah sahaja.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!