X

Kindly register in order to view this article
!

Sarjan terima vaksin selepas tiga bulan tertangguh

Kamaluddin menjadi satu-satunya anggota polis menerima suntikan di PPV Klinik Briged Utara PGA yang mula beroperasi pada Selasa.
A
A

IPOH - Seorang anggota polis lega menerima suntikan vaksin selepas tertangguh janji temu lebih tiga bulan disebabkan positif Covid-19.

Sarjan Kamaluddin Saiman, 55, yang bertugas di Cawangan Pengangkutan Briged Utara Pasukan Gerakan Am (PGA) Ulu Kinta di sini disahkan positif Covid-19 pada pertengahan Januari lalu hingga terpaksa menerima rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh selama 21 hari.

Menurutnya, keadaan itu menyebabkan beliau tidak dapat menyertai barisan hadapan lain menerima dos pertama vaksin di bawah Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Fasa Pertama.

"Saya mengalami simptom ketara ketika disahkan positif Covid-19 lalu, bukan sahaja demam, malah hilang selera makan dan sakit kepala yang agak teruk.

"Cuti sakit pun agak lama kerana itu saya tidak dapat menyertai rakan setugas lain dalam program imunisasi yang dikhususkan kerajaan. Hari ini (Selasa) walaupun agak terlewat, saya tetap bersyukur dan gembira akhirnya dapat terima suntikan vaksin," katanya ketika ditemui pemberita pada Selasa.

Kamaluddin yang telah 32 tahun berkhidmat dalam pasukan uniform itu menjadi satu-satunya anggota polis menerima suntikan di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Klinik Briged Utara PGA yang mula beroperasi pada Selasa.

PPV yang pertama seumpamanya di dalam markas pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu memberikan perkhidmatan suntikan vaksin Covid-19 kepada warga Briged Utara dan ahli keluarga mereka serta pasukan beruniform keselamatan dan pertahanan negara.

Menurut Kamaluddin, pembukaan PPV terbabit secara tidak langsung membantunya untuk segera mendapatkan suntikan vaksin.

"Saya sudah melalui aplikasi MySejahtera untuk dapatkan janji temu baru, tetapi belum berpeluang sehinggalah saya dimaklumkan PPV ini akan beroperasi, jadi saya terus cepat-cepat mendaftar.

"Alhamdulillah saya dan isteri tersenarai sebagai penerima vaksin pada hari pertama ini," katanya.

Fasa ketiga program imunisasi yang telah bermula pada Jun lalu turut memberi peluang kepada seorang pelajar institusi pengajian tinggi (IPT), Nuraini Abdul Ghani, 22, mendapatkan suntikan vaksin di PPV terbabit.

Anak kepada Komander Briged Utara, Senior Asisten Komisioner Abdul Ghani Mohamad Ji ini percaya, suntikan berkenaan akan memberi lebih keyakinan kepada kumpulan pelajar sepertinya menjelang pembukaan semula sesi pengajian bersemuka nanti.

"Saya juga berharap menerusi fasa ketiga ini, lebih ramai generasi muda khususnya pelajar IPT dapat menerima suntikan vaksin demi keselamatan dan kesihatan," katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Komander Briged Utara PGA, Asisten Komisioner Mohd Noh Khamis berkata, hari pertama operasi PPV berkenaan menyasarkan 400 penerima vaksin.

Katanya, operasi PPV itu diuruskan sepenuhnya oleh staf klinik terdiri daripada penolong pegawai perubatan dan jururawat terlatih termasuk petugas-petugas kalangan anggota dalam kem yang sebelum ini berpengalaman membantu PPV Stadium Indera Mulia Ipoh.

"Kita amat berpuas hati kerana proses suntikan berjalan lancar," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: PPV pertama dalam markas PDRM beroperasi esok


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!