Covid-19: CAC di Selangor dibuka setiap hari

CAC di Selangor dibuka setiap hari bagi menampung kesesakan pesakit Covid-19 di seluruh negeri itu. - Gambar hiasan
CAC di Selangor dibuka setiap hari bagi menampung kesesakan pesakit Covid-19 di seluruh negeri itu. - Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Pusat Penilaian Covid-19 (CAC) di Selangor termasuk di Stadium Malawati Shah Alam dibuka setiap hari bagi menampung kesesakan pesakit Covid-19 di seluruh negeri itu.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, pihaknya telah melakukan penambahbaikan dengan menambah laluan sedia ada.

"Kita menyediakan laluan khas untuk warga emas, kanak-kanak dan orang kurang upaya serta dua laluan untuk menanggalkan gelang tangan (release order)," katanya pada sidang akhbar khas bersama Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Adham Baba pada Selasa.

Menurutnya, khemah dan kerusi turut disediakan sebagai kemudahan kepada pesakit yang berkunjung ke CAC berkenaan.

"Selain itu, kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) turut menyediakan makan dan minum kepada pesakit," katanya.

CAC Stadium Malawati diserbu 4,000 pesakit Covid-19 pelbagai lapisan umur pada Isnin untuk melaporkan diri.

Keadaan itu merupakan yang terburuk sejak ia beroperasi dengan melebihi jangkaan 3,516 pesakit.

Mengulas mengenai CAC Taman Andalas Klang, beliau berkata, ia akan dipindahkan ke lokasi baharu yang telah dikenalpasti dalam tempoh dua minggu jika pengoperasiannya masih tidak berjalan dengan baik.

Artikel Berkaitan:

Katanya, beberapa langkah telah diambil antaranya melakukan pengasingan antara kawasan CAC dan penduduk sekitar.

"Anggota keselamatan juga ditempatkan di kawasan itu bagi memantau lalu lintas," katanya.

Sebelum ini tular di laman sosial pesakit Covid-19 berbaris panjang sehingga ke kawasan kediaman penduduk untuk melaporkan diri ke CAC Taman Andalas.