X

Kindly register in order to view this article
!

Pelajar kolej didakwa lakukan amang seksual, merompak

Tertuduh (tengah) dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu pada Selasa atas dakwaan merompak dan mencabul kanak-kanak dan seorang remaja pada 4 Julai lalu.
A
A

KUALA TERENGGANU - Seorang pelajar kolej dihadapkan ke Mahkamah Sesyen pada Selasa atas dakwaan merompak dan melakukan amang seksual terhadap kanak-kanak dan remaja perempuan masing-masing berusia 12 dan 16 tahun.

Tertuduh, Ahmad Zuldanial Zulkifli, 20, bagaimanapun mengaku tidak bersalah terhadap tiga pertuduhan yang dibacakan di hadapan hakim Nooriah Osman.

Mengikut pertuduhan pertama, tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap kanak-kanak berusia 12 tahun dengan memegang tangan kanan mangsa.

Bagi pertuduhan kedua pula tertuduh didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap remaja berusia 16 tahun dengan memegang tangan kanan mangsa.

Dengan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan sebatan jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh menghadapi satu lagi pertuduhan iaitu merompak serangkai anak kunci motosikal jenis Honda EX5 milik mangsa.

Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 392 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukum penjara sehingga 14 tahun dan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.

Ketiga-tiga kesalahan itu didakwa dilakukan oleh tertuduh pada tarikh, masa dan lokasi sama iaitu pada jam 11.30 malam di Jalan Belakang Alur Jambu di Kuala Terengganu, pada 4 Julai lalu.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM14,000 dan menetapkan sebutan kes pada 16 Ogos depan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nik Rabiatul Adawiah Saupy manakala tertuduh tidak diwakili peguam.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium