Segerakan vaksinasi pengusaha IPS, pusat asuhan

Gambar dari kiri: Teo Nie Ching, Hannah Yeoh
Gambar dari kiri: Teo Nie Ching, Hannah Yeoh
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa supaya menyegerakan pemberian vaksin kepada para pengusaha institusi pendidikan swasta (IPS) dan pusat asuhan kanak-kanak serta menyelaraskan semula prosedur operasi standard (SOP) untuk sektor-sektor tersebut.

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh dan Ahli Parlimen Kulai, Teo Nie Ching dalam satu kenyataan bersama berkata, IPS di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan pusat asuhan kanak-kanak di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) telah menghantar senarai kakitangan mereka kepada pihak berkaitan.

Bagaimanapun, kata mereka, sehingga kini mereka belum menerima sebarang maklum balas.

"Perkhidmatan sektor tersebut amat diperlukan oleh ibu bapa yang bekerja sebagai petugas barisan hadapan atau dalam perkhidmatan perlu walaupun pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) di sekolah dihentikan," kata mereka dalam kenyataan tersebut pada Selasa.

Dalam kenyataan sama, mereka turut menggesa kerajaan menyelaraskan semula SOP dan kaedah pengoperasian tadika, taska serta pusat jagaan kanak-kanak yang tidak selari antara KPM dan JKM sehingga menimbulkan kekeliruan dalam kalangan para pengusaha dan ibu bapa.

“Perkhidmatan asuhan dan penjagaan kanak-kanak harus disediakan kepada ibu bapa yang tidak dapat menjaga anak-anak mereka dengan sempurna kerana bebanan kerja masih berjalan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Kanak-kanak juga terdedah kepada risiko jangkitan Covid-19 sekiranya mereka terpaksa dihantar ke rumah pengasuh yang tidak melaksanakan SOP seperti IPS dan pusat jagaan dan pusat asuhan berdaftar,” kata mereka.

Dalam perkembangan lain, mereka turut mencadangkan kepada kerajaan supaya menubuhkan pusat sehenti perkhidmatan pendidikan dan penjagaan kanak-kanak bagi membantu pengusaha pusat tuisyen yang terpaksa menutup operasi mereka.

Artikel Berkaitan:

Ujar mereka, pusat tuisyen tersebut perlu dikategorikan sebagai institusi yang memberikan perkhidmatan 'educare' (education and childcare) memandangkan ia adalah keperluan kedua-dua ibu bapa bekerja.

“Anak-anak berumur tujuh hingga 12 tahun yang dihantar ke pusat tuisyen dan pusat jagaan di premis serta lokasi berasingan sememangnya tidak sesuai buat masa kini.

“Hari ini ibu bapa amat memerlukan perkhidmatan yang berfungsi seperti ‘one stop educare’ untuk anak-anak mereka,” ujar mereka.